LANGKAWI: Tiga feri sedang diselenggara di limbungan pembaikan kapal di Bukit Malut di sini, musnah dalam kebakaran, 2.15 pagi, semalam.
Ketua Zon 4 Langkawi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Bomba Mohd Zamri Abd Ghani, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 2.29 pagi.
“Empat jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Persiaran Putra, BBP Langkawi dan BBP Padang Matsirat bersama 21 anggota digerakkan ke lokasi.
“Setiba di lokasi kira-kira lima minit kemudian, pasukan bomba mendapati kebakaran membabitkan tiga feri yang berlabuh berdekatan di dermaga,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
“Api berjaya dikawal sepenuhnya pada 3.37 pagi dan sebuah lagi feri berada berhampiran turut ditarik keluar bagi mengelak terbakar,” katanya.
Menurut beliau, kerja ‘overhaul’ masih dijalankan bagi memastikan tiada lagi punca api tersembunyi, manakala punca kebakaran dan jumlah kerugian sedang disiasat.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan. – Metro
