WASHINGTON: Panahan kilat sepanjang 829 kilometer (km) yang menerangi langit dari Texas ke Kansas, Amerika Syarikat (AS) pada 2017 disahkan sebagai yang terpanjang di dunia.
Pengiktirafan itu diumumkan Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO) semalam, sekali gus memecah rekod terdahulu, iaitu kilat sejauh 768 kilometer (km).
Memetik NDTV, panahan kilat luar biasa itu, digelar sebagai ‘megaflash’ yang berlaku pada Oktober 2017, namun hanya disahkan baru-baru ini menerusi teknologi satelit.
Portal Science Alert menyatakan penemuan itu dimungkinkan menerusi data satelit GOES East yang mengorbit 35,786 km dari permukaan bumi
Satelit berkenaan membolehkan saintis menjejaki keseluruhan laluan kilat itu, sesuatu yang tidak dapat dilakukan oleh sistem pengesanan kilat berasaskan darat.
Sementara itu, pakar geografi atau saintis geografi dari Universiti Negeri Arizona dan WMO, Randy Cerveny berkata pihaknya kini meneliti mekanisme berlakunya fenomena ‘megaflash’ dan tidak menolak kemungkinan masih banyak kejadian ekstrem seumpamanya yang belum dapat dikesan.
Katanya, teknologi baharu kini membolehkan penilaian lebih tepat terhadap fenomena alam luar biasa yang sebelum ini mungkin terlepas daripada pemerhatian.
Kilat ‘megaflash’ biasanya bergerak secara mendatar dalam awan dan bukan menyambar ke tanah seperti kebanyakan panahan kilat biasa.
Ia diklasifikasikan sebagai ‘megaflash’ apabila melebihi 100 km panjang, menjadikannya kejadian yang amat jarang berlaku.
Rekod terdahulu dipegang panahan kilat pada 29 April 2020 merentasi Texas, Louisiana dan Mississippi, sejauh 768 km.
Fenomena kilat berlaku apabila zarah dalam atmosfera bertembung dan menghasilkan cas elektrik sebelum dilepaskan dalam bentuk panahan.
Sebahagian besar panahan kilat biasa hanya sepanjang beberapa kilometer namun ‘megaflash’ boleh mencapai ratusan kilometer merentasi benua. – Harian Metro