PETALING JAYA: Persatuan Ragbi Negeri Terengganu (PRNT) terus memperkukuhkan tahap profesionalisme pengurusan pasukan apabila mengambil langkah proaktif dengan memperkenalkan perlindungan insurans individu serta dasar kontrak lebih telus kepada pemain bagi menghadapi saingan Piala Agong edisi ke-42 musim ini.
Pengurus pasukan, Mohd Haqiuddin Ali Rabu berkata, inisiatif tersebut dilaksanakan sebagai usaha menjaga kebajikan pemain selain memastikan pengurusan pasukan berada pada tahap lebih sistematik dan profesional.
Menurutnya, sebelum ini perlindungan insurans diberikan secara berkumpulan, namun musim ini pihak pengurusan mengambil pendekatan baharu dengan menyediakan perlindungan secara individu khusus kepada pemain tempatan.

“Walaupun setakat ini hanya melibatkan pemain tempatan, ia tetap satu penambahbaikan positif buat pasukan kerana kebajikan pemain menjadi keutamaan kami.
“Kita mahu pemain berasa lebih terjamin dan yakin untuk memberikan komitmen penuh sepanjang saingan berlangsung,” katanya ketika ditemui pada aksi pembukaan Terengganu menentang Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Padang Astaka, hari ini.
Beliau berkata, pemain import bagaimanapun masih menggunakan perlindungan insurans secara berkumpulan berikutan beberapa syarat tertentu yang ditetapkan syarikat insurans.
“Namun begitu, semua pemain tetap mendapat manfaat perlindungan sewajarnya dan pengurusan akan terus mencari kaedah terbaik untuk menambah baik aspek kebajikan mereka dari semasa ke semasa,” katanya.
Dalam pada itu, Haqiuddin berkata, pihak pengurusan turut memperkenalkan pendekatan lebih terbuka dalam urusan kontrak pemain bagi mengelakkan sebarang salah faham antara pemain dan pasukan.
Katanya, setiap pemain diberikan ruang secukupnya untuk meneliti serta memahami kandungan kontrak sebelum menandatangani perjanjian bersama pasukan.
“Kita mahu semuanya berjalan secara profesional dan telus supaya pemain memahami hak serta tanggungjawab masing-masing,” ujarnya.
Sementara itu, bekas kapten kebangsaan, Mohammad Nasharudin Ismail menyifatkan langkah yang diambil PRNT mampu mewujudkan suasana lebih positif selain meningkatkan keyakinan pemain terhadap pengurusan pasukan.
Menurutnya, pendekatan profesional seperti itu penting dalam membantu pembangunan ragbi negeri agar mampu bersaing secara konsisten di peringkat lebih tinggi.
Terengganu memulakan kempen Piala Agong musim ini dengan menentang Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dalam aksi pembukaan yang berlangsung di Padang Astaka, Petaling Jaya, hari ini. – Suara Timur
