Home NasionalPeletakan kubah i-Furqan perkukuh agenda wakaf pendidikan UPSI

Peletakan kubah i-Furqan perkukuh agenda wakaf pendidikan UPSI

oleh suara timur

Oleh BAZLI RAZAK

TANJONG MALIM:  Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus memperkukuh agenda wakaf pendidikan menerusi Majlis Peletakan Kubah Institut Pendidikan Tahfiz dan Turath Islami (i-Furqan) yang berlangsung di Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS) di sini hari ini.

Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata pembangunan institut berkenaan menjadi simbol komitmen universiti dalam memperkasakan pendidikan Islam secara holistik menerusi sinergi wakaf, penyelidikan dan kerjasama strategik bersama sektor korporat.

Beliau berkata, projek yang dibiayai sepenuhnya melalui dana wakaf dengan Yayasan Rafulin sebagai pewakaf utama itu turut menjadi kesinambungan kepada visi dan perjuangan mantan Naib Canselor UPSI kelima, Allahyarham Prof Datuk Dr Zakaria Kasa yang memperjuangkan integrasi ilmu wahyu dan akademik di negara ini.

banner

“Institut ini akan menjadi pusat kecemerlangan ilmu yang menggabungkan tradisi turath Islami dengan penyelidikan akademik moden bertaraf dunia.

SUASANA pemasangan kubah pada Majlis Peletakan Kubah Institut Pendidikan Tahfiz dan Turath Islami di Kampus Sultan Azlan Shah.

“UPSI komited menjadikan i-Furqan sebagai pusat rujukan utama dalam bidang tahfiz dan turath Islami yang mampu melahirkan generasi ilmuwan Islam berdaya saing di peringkat antarabangsa,” katanya ketika berucap pada majlis itu.

Majlis berkenaan disempurnakan Pengarah Urusan Yayasan Rafulin, Datuk Mohamed Raffe Chekku.

Turut hadir Mufti Selangor, Dato’ Setia Dr Anhar Opir; Pengurus Besar Bahagian Wakaf Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Norfazilah Bawadi serta wakil Pejabat Agama Islam Daerah Muallim.

Menurut Dr Md Amin, pembangunan i-Furqan bukan sekadar melibatkan pembinaan fizikal, malah melambangkan usaha UPSI dalam membina ekosistem pendidikan mampan yang berteraskan nilai ilmu, wakaf dan pembangunan insan.

Dr. Md Amin (tujuh dari kiri) bergambar bersama barisan pelaksana projek i-Furqan pada Majlis Peletakan Kubah Institut Pendidikan Tahfiz dan Turath Islami di Kampus Sultan Azlan Shah.

Sementara itu, Pengarah Pusat Wakaf, Endowmen, Zakat, Sedekah dan Khairat (WEZAS) UPSI, Prof Madya Dr Mohd Abdul Nasir Abd Latif berkata, pemasangan kubah utama institut tersebut menampilkan konsep seni bina Islam kontemporari dengan sentuhan eksklusif “Rafulin Signature”.

Beliau berkata, kubah berdiameter lima meter itu menggunakan kemasan oxidized copper premium dari Jerman, iaitu material sama digunakan dalam pembinaan Masjid Raja Lumu.

“Struktur kubah ini mempunyai berat kira-kira 600 kilogram dengan ketinggian 2.2 meter dan diperkukuh melalui tiga lapisan utama melibatkan aluminium, lapisan kalis air serta tembaga bagi memastikan ketahanan dan nilai estetika yang tinggi.

“Bahagian pinnacle berwarna emas setinggi 1.6 meter pula melengkapkan keseluruhan struktur sekali gus menyerlahkan elemen kemegahan seni bina Islam moden di bumi Muallim,” katanya.

Pembangunan i-Furqan yang ditadbir urus WEZAS dijangka siap dan mula beroperasi pada awal tahun 2027.

Inisiatif itu merupakan sebahagian usaha berterusan UPSI dalam memperkasakan wakaf pendidikan serta memperkukuh kedudukannya sebagai pusat rujukan utama ilmu tahfiz dan turath Islami di peringkat global. – Suara Timur

Tinggalkan komen