Home NasionalKesatuan sekerja tertua negara MTUC kena bubar serta-merta

Kesatuan sekerja tertua negara MTUC kena bubar serta-merta

oleh suara timur

SHAH ALAM: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang menjadi suara utama pekerja negara sejak 77 tahun lalu terbubar sementara berkuat kuasa serta-merta pada Khamis susulan perintah yang dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).

Menerusi satu surat yang dilihat Sinar Harian, RoS berkata, tindakan mengikut Seksyen 14(5) Akta Pertubuhan 1966 itu diambil selepas MTUC didakwa gagal mengemukakan sebahagian dokumen dan maklumat yang diminta RoS dalam tempoh ditetapkan.

Menurut surat yang ditandatangani Pendaftar Pertubuhan Malaysia, Nurul Azhar Husin itu, RoS pada 6 April lalu mengarahkan MTUC menyerahkan beberapa dokumen berkaitan pengurusan dan kewangan pertubuhan bagi tempoh 2020 hingga 2025 dalam masa 30 hari.

Antara maklumat diminta termasuk alamat berdaftar pertubuhan, jumlah anggota, senarai pemegang jawatan, minit mesyuarat persidangan perwakilan, penyata kewangan yang telah diaudit serta senarai pertubuhan luar negara yang mempunyai hubungan dengan MTUC.

banner

Bagaimanapun, MTUC didakwa gagal mengemukakan salinan dokumen berkaitan penyata penerimaan dan pembayaran serta kunci kira-kira yang telah diaudit.

Kogres itu juga didakwa tidak menghantar salinan senarai perihal kewangan apa-apa wang atau harta ataufaedah atau keuntungan yang diterima mereka daripada mana-mana orang yang lazimnya bermastautin di luar negara atau suatu organisasi, pihak berkuasa, kerajaan agensi kerajaan di luar Malaysia.

Bahawasanya MTUC telah tidak menghantar maklumat-maklumat (yang diminta). Dengan ini diperintahkan bagi sementara supaya pendaftaran pertubuhan yang namanya tersebut di atas (MTUC) dibubarkan mulai dari tarikh perintah ini,” kata surat berkenaan.

Surat itu turut memaklumkan bahawa sekiranya tiada rayuan dibuat dalam tempoh 30 hari atau rayuan ditolak Menteri Dalam Negeri, perintah sementara tersebut akan menjadi mutlak dan pertubuhan berkenaan disifatkan sebagai pertubuhan menyalahi undang-undang.

RoS menegaskan, mana-mana individu yang mengurus atau membantu pengurusan pertubuhan yang dibatalkan pendaftarannya boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda maksimum RM15,000 atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Bagaimanapun, MTUC masih mempunyai ruang untuk mengemukakan rayuan kepada Menteri Dalam Negeri mengikut Seksyen 18 Akta Pertubuhan 1966 dalam tempoh 30 hari daripada tarikh keputusan itu.

Surat tersebut dihantar kepada Setiausaha MTUC dan salinannya turut dihantar kepada Presiden MTUC, Abdul Halim Mansor dan Bendaharinya, Bindu Girdharlal Patel.

MTUC merupakan organisasi kesatuan sekerja tertua di Malaysia yang ditubuhkan pada tahun 1949 dan didaftarkan di bawah Akta Kemasyarakatan, 1955. – Sinar

Tinggalkan komen