TUMPAT: Penduduk di Kampung Derdap, Pengkalan Kubor di sini, memasang kain rentang sebagai tanda protes selepas kecewa dengan masalah banjir termenung ekoran Projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok.
Lima kain rentang dengan tulisan Projek Menyusahkan Rakyat, Banjir#LubangAir, Tolonglah Bantu Kami PMX, Jalan Maut dan Sungguh Malang Nasib Kami yang dipasang di kampung itu kemudian tular di media sosial.
Seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Mat, 60, berkata, penduduk memasang kain rentang itu selepas kecewa dengan sikap pemimpin tempatan yang dilihat seperti tidak peduli dengan situasi tersebut.
“Kawasan ini dilanda banjir setiap tahun. Apabila projek tebatan dijalankan pada tahun 2022, kami berdepan masalah banjir termenung yang teruk. Selain itu, pembinaan PLSB juga sangat perlahan dan penduduk berharap ia tidak terbengkalai,” katanya.
Mat berkata, selain banjir termenung, penduduk berdepan masalah jalan rosak yang menjejaskan rutin harian mereka. – Kosmo
