Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
KEMAMAN: Seramai 70 orang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Binjai, di sini, menyertai Kem Kesihatan Remaja 2025 di sekolah itu, hari ini.
Program bertemakan ‘Sayangi Diri, Pilih Hidup Sihat’ anjuran Panel Penasihat Klinik Kesihatan Batu 2 ½, di sini, bertujuan melahirkan remaja yang berdaya tahan dan berilmu serta berupaya menjaga kesihatan diri dalam menyumbang kepada kesejahteraan pada masa hadapan.
Program yang mendapat kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kemaman, Klinik Kesihatan Batu 2 ½ dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Kemaman dirasmikan Pengerusi Panel Penasihat Klinik Kesihatan Batu 2 ½, Wan Norsuriya Wan Mokhtar.

Hadir sama, wakil Ketua Klinik Kesihatan Batu 2 ½, Dr Nurul Afidza Noor Allim, Pengetua SMK Binjai, Sharifah Rohaya Syed Yahya dan wakil AADK Daerah Kemaman.
Program tersebut dibahagikan empat kumpulan bagi memudahkan penceramah memberi penerangan kepada pelajar.
Penerangan mengenai Kesihatan Mental dikendalikan oleh Pegawai Kaunselor Klinik Kesihatan Batu 2 ½, Wan Ain Nadhirah Wan Aziz manakala Penyalahgunaan Substans, Bahaya Merokok dan Vape oleh Pegawai AADK Daerah Kemaman.

memberi penerangan mengenai Penyakit-Penyakit Kelamin dan Seksual Reproduktif kepada pelajar SMK Binjai pada Kem Kesihatan Remaja 2025 di Kemaman, hari ini. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN
Ceramah Penyakit-Penyakit Kelamin dan Seksual Reproduktif penerangan disampaikan oleh pegawai Unit Kawalan Penyakit-Penyakit Tidak Berjangkit (NCD), Klinik Kesihatan Batu 2 ½, Dr Norezzah Azlin Sofian dan Pemakanan Yang Sihat disampaikan oleh Pegawai Sains Pemakanan, PKD Kemaman, Nurul Asyikin Osman dan Muhamad Nazrul Fahmi Noordin.
Wan Norsuriya berkata, Panel Penasihat Klinik Kesihatan Batu 2 ½ merupakan wakil komuniti secara sukarela mewujudkan saluran dua hala di antara masyarakat dan klinik kesihatan bagi mencapai matlamat kesihatan untuk semua.

Menurutnya, setiap tahun panel penasihat akan mengadakan program seperti saringan kesihatan, ceramah, bengkel kesihatan dan sebagainya di dalam kawasan operasi klinik.
“Memandangkan tahun ini masalah remaja sering diperkatakan, justeru itu kami memilih untuk mengadakan Kem Kesihatan Remaja.
“Remaja merupakan aset penting negara yang bakal memimpin masa hadapan. Mereka juga terdedah dengan pengaruh negatif yang mana ia boleh membuat keputusan yang boleh merosakkan diri dan mental,” katanya.

Sementara itu Pengetua SMK Binjai Kemaman, Sharifah Rohaya Syed Yahya berkata, beliau mengucapkan terima kasih kepada Panel Penasihat Klinik Kesihatan Batu 2 ½ dan Klinik Kesihatan Batu 2 ½ memilih SMK Binjai bagi menjayakan program ini.
“Program hari ini banyak membantu pelajar dari segi pemakanan yang sihat, bahaya merokok dan dadah. Maklumat yang diperolehi hari ini merupakan ilmu amat memberi manfaat kepada pelajar,” ujarnya. – Suara Timur