Negeri

PSKT bawa pendidikan Sains dan Teknologi ke luar bandar

HULU DUNGUN: Menempuh perjalanan sejauh lebih 100km dari Kuala Terengganu tidak menghalang Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) untuk membawa pendidikan Sains dan Teknologi menerobos ke kawasan luar bandar sekaligus merapatkan jurang di antara masyarakat untuk memanfaatkan peluang sama rata ini.

Menerusi penganjuran karnival yang dijenamakan sebagai ‘Science Journey Carnival STI MADANI’ berjaya menarik kehadiran lebih 2,000 pengunjung untuk hari pertama di Dewan Balora, Bandar Al Muktafi Billah Shah, di sini, sekaligus menjadi penanda aras awal bagi dua hari penganjuran yang akan melabuhkan tirai pada Ahad ini.

Bagi seorang guru dari Sekolah Kebangsaan (SK) Ayer Puteh, Kemaman, Mustafa Mohd Rafi menzahirkan keterujaan bersama 38 murid-muridnya yang sanggup hadir dengan perkhidmatan bas sewa khas.

PENDEDAHAN secara langsung memberi pengalaman sebenar buat setiap pengunjung khususnya generasi baharu untuk mendekati Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

“Satu program atau penganjuran yang amat bermakna buat kami khususnya anak-anak murid kami dari luar bandar ini di mana sememangnya telah lama kami merancang untuk ke PSKT yang terletak di Kuala Terengganu. Namun oleh kerana faktor jarak dan perbelanjaan yang terhad maka kami terpaksa tangguhkan dulu.

“Setelah mengetahui PSKT akan hadir ke bandar Bandar Al Muktafi Billah Shah ini, saya segera memanfaatkan peluang yang ada ini demi anak-anak didik saya menerima peluang yang sama rata seperti mana yang lain berada di bandar. Seharusnya program sedemikian diadakan pada edisi seterusnya,” kata Mustafa Mohd Rafi yang mengajar mata pelajaran Matematik di sekolahnya.

Perkara itu turut diakui Penolong Pengurus Pembangunan Masyarakat dan Sosial KETENGAH, Muhammad Adhwa Hazziq Arsad yang menyatakan program itu sebagai medium pendedahan kepada anak-anak luar bandar untuk lebih dekat dengan Sains.

DEWAN Balora, Bandar Al Muktafi Billah Shah, Hulu Dungun menjadi destinasi penganjuran ‘Science Journey Carnival STI MADANI’ oleh Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT).

“Ini satu langkah permulaan ke arah kita membudayakan digitalisasi dan kecerdasan buatan (AI).

“Kalau diteruskan, ia dapat mempersiapkan anak-anak muda di luar bandar khususnya agar tidak ketinggalan dalam membudayakan sains dalam kehidupan,” jelasnya.

SOKONGAN oleh pemain-pemain industri memberi tambah nilai bagi penganjuran ‘Science Journey Carnival STI MADANI’ untuk merapatkan jurang masyarakat luar bandar untuk mendekati Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Keterujaan merasai kemeriahan karnival berkenaan turut dikongsi Nur Zulaikha Zulkifli, 31, ibu kepada lima orang anak yang hadir di sini.

Katanya, beliau tidak menyangka karnival itu sungguh meriah dengan pelbagai aktiviti.

PENGANJURAN ‘Science Journey Carnival STI MADANI’ memberi peluang sama rata dengan masyarakat luar bandar untuk mendapat pendedahan program pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

“Jangkaan awal saya hanyalah sebuah program biasa di mana anak saya memaklumkan ingin menyertai sukaneka sahaja, yalah seperti mana program atau penganjuran lain-lain sebelum ini di sini.

“Namun setelah sampai di sini ianya adalah lebih itu di mana mereka diberi pendedahan secara terus untuk mencuba atau menyentuh setiap pameran yang ada di sini.

“Tidak dinafikan sebagai ibu sudah tentu ingin memberikan peluang pendidikan yang lebih baik kepada anak-anak namun setiap keluarga mempunyai kekangan masing-masing di mana sekiranya kewangan tidak menjadi faktor sudah tentu lokasi tempat tinggal. Apa yang pasti bagi penganjuran ini tiada dikenakan sebarang bayaran amat bermakna buat keluarga besar ini,” tambahnya.

NUR Zulaikha Zulkifli(kiri) memanfaatkan masa hujung minggu bersama lima anaknya untuk hadir ke ‘Science Journey Carnival STI MADANI’ yang berlangsung selama dua hari bertempat di Dewan Balora, Bandar Al Muktafi Billah Shah, Hulu Dungun.

PSKT selaku pemegang taruh utama penganjuran yang berlangsung selama dua hari ini memanfaatkan sepenuhnya geran STI MADANI  sebagai usaha tanggungjawab untuk merapatkan jurang pendedahan mahupun Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dengan masyarakat luar bandar.

Selain pameran dan aktiviti berkaitan STEM berlangsung di dalam dewan utama, turut berlangsung di perkarangan dewan adalah sukaneka, pertunjukkan silap mata, cerapan langit, pameran dan perkhidmatan dari pelbagai agensi dan pelbagai lagi yang turut menarik kehadiran orang ramai dari pelbagai latar belakang. – Suara Timur

Related Posts