Mahkamah dan Jenayah

21 September ditetapkan sebutan semula kes pempengaruh edar dadah

KUALA TERENGGANU: Mahkamah Majistret, di sini, hari ini menetapkan 21 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes seorang pempegaruh dan peniaga kosmetik yang berdepan pertuduhan mengedar dadah berbahaya jenis methamphetamin seberat 1.015 kilogram (kg).

Keputusan dibuat Majistret Iffah Nabihah Mohd Ishak selepas pihak pendakwaan memohon tarikh baharu bagi serahan laporan kimia berikutan keputusan laporan masih belum diperoleh.

Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ely Nazihah Ahmad Yunus, manakala tertuduh Abdul Rahman Mohamad Hussain, 36, diwakili peguam Datuk Amirul Ridzuan Hanif, Nur Syafiah Athirah Ahmad Shafique dan Iqmal Jamaludin.

Mengikut pertuduhan sebelum ini, tertuduh didakwa mengedar dadah berbahaya jenis methamphetamin dianggarkan seberat 1.015 kg.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kedai di tingkat niaga Paya Keladi, di sini, jam 8.40 malam pada 28 April lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan hendaklah disebat tidak kurang daripada 15 sebatan jika tidak dihukum dengan hukuman mati.

Media sebelum ini melaporkan peniaga kosmetik ditahan bersama dadah membabitkan rampasan keseluruhan termasuk aset bernilai lebih RM1 juta.  – Harian Metro

Related Posts