Mahkamah dan Jenayah

Eda Ezrin, lima yang lain akan ditahan untuk diambil keterangan selepas tiba di Kelantan – KP

SUNGAI GOLOK: Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat mengesahkan pihaknya akan menahan Eda Ezrin dan lima yang lain sebaik mereka tiba di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang, Kelantan.

Katanya, penahanan itu bagi membolehkan pihaknya mengambil keterangan dan menjalani ujian air kencing.

“Kita sudah menempatkan anggota polis untuk proses berkenaan di ICQS Rantau Panjang.

“Bagaimanapun dua daripada enam individu itu yang masuk ke Thailand secara haram akan ditangkap mengikut Seksyen 5 (2) Akta Imigresen 1958/63,” katanya dihubungi di sini, hari ini.

Media semalam melaporkan Eda Ezrin dibebaskan dari Penjara Pusat Narathiwat selepas lebih sembilan bulan ditahan.

Mahkamah membuat keputusan itu selepas pihak pendakwa raya Thailand gagal mengemukakan saksi dan bukti untuk merayu kes berkenaan.

Pada 14 Januari lalu, Eda Ezrin dan lima yang lain termasuk suaminya Mohd Affendi Ahmad, 35, didakwa di Mahkamah Wilayah Narathiwat atas pertuduhan memiliki 6,059 pil Yaba dan penggunaan dadah.

Bagaimanapun pada 6 Mac lalu, keenam-enam mereka dibebaskan Mahkamah Wilayah Narathiwat daripada pertuduhan memiliki 6,059 pil Yaba. – Berita Harian

Related Posts