Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
KEMAMAN: Seorang wanita penghantar barang mengalami kerugian keseluruhan RM9,000 setelah terpedaya dengan penipuan penyamaran sebagai polis dalam talian.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintenden Wan Muhamad Wan Ja’afar berkata, mangsa berusia 35 tahun menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki pada 4 November yang memperkenalkan diri sebagai anggota polis.
Menurutnya, anggota polis yang membuat panggilan itu menawarkan bantuan untuk membebaskan adik pengadu yang ditahan kerana terlibat dengan kesalahan jenayah dan diminta untuk membuat bayaran sebagai wang jaminan.
Katanya, sehubungan itu, mangsa telah melakukan dua kali transaksi ke dalam satu akaun bank yang sama berjumlah keseluruhan RM9,000 pada 4 November hingga 5 November lalu.
“Mangsa rasa tertipu dengan perkara tersebut setelah membuat semakan dengan pegawai penyiasat yang menafikan ada menghubungi dan mengarahkan mangsa untuk membuat bayaran bagi membebaskan adiknya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Wan Muhamad memberitahu, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan panggilan telefon yang menyamar sebagai penguat kuasa, pegawai bank atau wakil mana-mana agensi.
Tambahnya, sahkan maklumat dengan menghubungi pihak berkuasa menggunakan nombor rasmi di laman web atau sumber yang sahih.
“Mangsa boleh hubungi Nasional Scam Response Centre (NSRC) di talian 997 untuk membuat laporan atau pengesahan segera,” ujarnya. – Suara Timur
