KUALA LUMPUR: Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tampil membuat laporan polis terhadap Muhammed Yusoff Rawther berhubung dakwaan menyokong rejim Israel.
Ahli Sekretariat Nadi Gemilang Amal, Dzul Hilmi Zainol berkata, pihaknya menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan terperinci terhadap kenyataan individu terbabit yang didakwa dibuat pada tahun 2017.
“Kenyataan tersebut masih boleh diakses menerusi sebuah laman sesawang milik negara berkenaan (Israel) dan boleh dilihat oleh rakyat Malaysia.
“Kami berharap PDRM menjalankan siasatan yang menyeluruh dan tuntas terhadap Muhammed Yusoff,” katanya ketika ditemui di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, pada Rabu.
Sementara itu, peguam, Asheeq Ali Sethi Alivi yang turut hadir berkata, laporan yang dibuat oleh NGO terbabit bukan bersifat tohmahan sebaliknya menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.
“Kita tidak menuduh secara sembarangan. Jika dakwaan tersebut benar, maka ia wajar diambil tindakan sewajarnya.
“Kita tidak boleh berkompromi dengan mana-mana individu yang menjadi ejen atau menyokong agenda rejim Israel,” tegasnya. – Sinar Harian