KUALA TERENGGANU: Polis Kontinjen Terengganu merampas 188 bungkusan berisi ketulan kristal dipercayai dadah jenis syabu seberat 198.9 kilogram dengan anggaran RM6.3 juta.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin, berkata dadah yang diisi dalam bungkusan teh dipercayai dibawa masuk dari negeri jiran ditemui dalam Mercedes Benz dan Perodua Myvi yang ditinggalkan di hadapan sebuah rumah di Kampung Felda Belara, di sini, pada 28 Julai lalu.
Beliau berkata, sebelum penemuan bungkusan dadah, pihaknya mengejar dua kenderaan yang melarikan diri daripada sekatan jalan raya dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu di Jalan Sungai Ikan (laluan Kuala Terengganu – Kota Bharu).
Katanya, dua kenderaan yang dalam perjalanan menghala ke Kuala Terengganu berada dalam keadaan mencurigakan sebelum membuat pusingan U secara mengejut dan melarikan diri menghala ke arah laluan Kota Bharu.
“Anggota mengejar dua kenderaan terbabit sejauh lebih lima kilometer sebelum kenderaan itu ditemui ditinggalkan di hadapan sebuah rumah di kampung berkenaan.
“Pemeriksaan dalam kereta jenis Mercedes Benz menjumpai lima kotak polisterin yang mana setiap kotak mengandungi 24 bungkusan plastik berwarna perak/merah tertera perkataan ‘Guan Yin Wang’ yang di dalamnya mengandungi plastik lutsinar berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu sebanyak 120 bungkusan dengan berat anggaran kasar 126.96 kilogram,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, di sini, hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan dalam Perodua Myvi menemukan dua kotak polisterin yang mana kotak pertama mengandungi 24 bungkusan dan kotak kedua mengandungi 20 bungkusan tertera perkataan sama dengan berat keseluruhan 71.94 kilogram.
Mohd Khairi berkata, keseluruhan rampasan daripada dua kenderaan terbabit adalah sebanyak 198.9 kilogram dengan anggaran nilai keseluruhan sebanyak RM6,364,800.
Menurutnya, dadah yang dirampas dipercayai boleh digunakan oleh 994,550 penagih.
Katanya, usaha mengesan suspek yang dipercayai lelaki tempatan kini giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952. – Berita Harian