BENTONG: Enam lelaki berusia antara 15 hingga 25 tahun maut selepas kereta Toyota Vios yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori satu tan di Jalan Karak Lama menghala ke Temerloh, berhampiran Klinik Desa Jambu Rias, awal pagi hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.25 pagi itu, semua mangsa yang menaiki Toyota Vios disahkan meninggal dunia di lokasi akibat tersepit selepas kenderaan dinaiki mengalami rempuhan kuat.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Datuk Mohd Razam Taja Rahim berkata, Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan kecemasan pada jam 4.24 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Karak bergegas ke lokasi.
Beliau berkata, jentera pertama tiba di lokasi pada jam 4.32 pagi dan mendapati kemalangan membabitkan sebuah Toyota Vios serta sebuah lori satu tan.
Enam mangsa lelaki yang menaiki Toyota Vios didapati tersepit di dalam kenderaan dan disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mangsa yang maut dikenali sebagai Mugilan A/L Vraputiran (25), Dinesvaran A/L Kumar (21), Alaganathan A/L Krishnan (20), Kanabati Raja A/L Arunasalam (18), Kiisyen A/L Sasi Kumar (16) dan Paranthaman A/L Marutayah (15).
Menurutnya, pemandu lori satu tan, Muhamad Hanafi Ahmad Raju (31), mengalami kecederaan sebelum dihantar ke hospital menggunakan ambulans KKM untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Katanya, anggota bomba bertindak memberikan rawatan awal serta mengeluarkan semua mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas penyelamatan iaitu Rescue Tool dan Combi Tool.
“Mayat kesemua mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, manakala mangsa yang cedera diserahkan kepada KKM,” katanya.
Operasi membabitkan tujuh anggota BBP Karak dengan bantuan sembilan anggota BBP Mentakab berjaya dikawal pada jam 5.57 pagi sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.40 pagi. – Berita Harian
