Negara

‘Lagu Allah Lanjutkan Usia Sultan bukan Negaraku’ – KPM

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) menegaskan, lagu yang dinyanyikan di sebuah sekolah di negeri Perak bukan lagu Negaraku seperti yang didakwa oleh seorang pempengaruh politik.

KPM dalam satu kenyataan menjelaskan, lagu yang dinyanyikan adalah ‘Allah Lanjutkan Usia Sultan’ yang menjadi lagu kebesaran negeri Perak.

Katanya, lagu itu adalah simbol taat setia, kasih dan penghormatan kepada Sultan Perak Darul Ridzuan dan tradisi Kesultanan Negeri Perak.

“KPM kesal dengan video tular seorang pempengaruh politik yang cuba mengelirukan masyarakat dengan mendakwa Lagu Negaraku dinyanyikan bukan dalam Bahasa Kebangsaan pada satu acara yang berlangsung di sebuah sekolah di negeri Perak.

“Video berkenaan juga secara jelas menunjukkan murid dan semua hadirin menyanyikan lagu ‘Allah Lanjutkan Usia Sultan’ dalam Bahasa Melayu mengikut lirik yang betul,” menurut kenyataan itu hari ini.

KPM menasihatkan masyarakat untuk tidak terpengaruh dengan fitnah jahat yang cuba menghasut dan mengancam perpaduan serta keharmonian negara.

Katanya, Syawal adalah bulan kemenangan mengembalikan fitrah, justeru ia sepatutnya diraikan dengan penuh keinsafan dan kesyukuran, bukan dengan tipu daya dan adu domba yang boleh merosakkan kestabilan negara. – Berita Harian



Related Posts