KUALA TERENGGANU: Polis Terengganu memberi jaminan peminat motosikal Yahama RXZ boleh menyertai Himpunan RXZ Members 7.0 selama dua hari bermula Jumaat ini dengan tenang tanpa perlu risau ‘dipukat’ pihak berkuasa.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairudin berkata, pihaknya tidak akan memilih pendekatan sekatan jalan raya (SJR) sepanjang penganjuran program yang dijangka disertai lebih 100,000 peminat motosikal Yamaha RXZ seluruh negara.
Sebaliknya, beliau berkata, penguat kuasa undang-undang, kawalan ketenteraman awam dan kelancaran trafik akan dilaksanakan menerusi rondaan anggota polis bertugas.
“Seramai 600 pegawai dan anggota polis akan bertugas sepanjang penganjuran Himpunan RXZ Members 7.0.
“Kawalan akan dilakukan di lokasi penganjuran iaitu Litar Permotoran Terengganu di Gong Badak, Kuala Nerus dekat sini dan lokasi tumpuan peserta seperti tempat penginapan mereka di sekitar bandar raya ini dan daerah sekitar,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen Terengganu di sini hari ini.
Mohd. Khairi mengingatkan peseta RXZ Members 7.0 agar mematuhi undang-undang termasuk memiliki lesen memandu sah dan tidak mengubahsuai motosikal tanpa spesifikasi dibenarkan.
Beliau berkata, peserta himpunan itu juga diingatkan agar tidak membuat bising di tempat awam dan membawa barangan terlarang seperti dadah.
“Sebarang pelanggaran undang-undang (oleh peserta RXZ Members) akan diambil tindakan tegas oleh pegawai dan anggota polis yang melakukan rondaan,” katanya. – Kosmo