KUALA TERENGGANU: Seorang pempengaruh media sosial ditahan gara-gara membawa kereta ke laut untuk tujuan penggambaran mengundang padah apabila dia ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), di sini, semalam.
Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Hamiludin Che Awang berkata, pempengaruh itu ditahan dalam Operasi Iman ketika berada pada jarak 16 batu nautika barat laut Kuala Terengganu berhampiran Pulau Bidong pada pukul 6 petang.
Beliau berkata, tindakan individu terbabit meletakkan kereta di atas platform yang ditarik dengan sebuah bot penumpang jelas melanggar di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 (MSO).
“Platform berkenaan dibina tanpa peralatan keselamatan boleh menimbulkan risiko keselamatan kepada kru, penumpang dan pengguna perairan lain,” katanya.
Hamiludin berkata, pihaknya turut menahan sebuah lagi bot yang mengiringi penggambaran itu kerana beroperasi tanpa mempunyai lesen sah oleh Jabatan Laut.
Katanya lagi, kedua-dua bot terbabit, pempengaruh, kru dan penumpang masing-masing berusia 21 hingga 32 tahun ditahan untuk siasatan lanjut.
Menurutnya, semua yang ditahan warga tempatan terdiri daripada enam kru termasuk nakhoda serta enam penumpang.
“Bot bersama kru serta penumpang telah dibawa masuk ke Jeti Maritim Negeri
Terengganu sekitar jam 2 pagi tadi untuk siasatan lanjut,” katanya.
Beliau memberitahu, kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana melanggar syarat sah lesen, beroperasi tanpa lesen yang sah serta melakukan aktiviti penundaan tanpa kebenaran. – Suara Timur