Home NegeriTiada aduan salah laku pemandu e-hailing sejak 2020 – JPJ Terengganu

Tiada aduan salah laku pemandu e-hailing sejak 2020 – JPJ Terengganu

oleh suara timur

KUALA TERENGGANU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu mengesahkan tidak menerima sebarang laporan atau aduan rasmi berkaitan pelanggaran peraturan melibatkan pemandu perkhidmatan e-hailing di negeri ini sejak 2020.

Pengarahnya, Zamri Samion berkata, aduan terakhir diterima pihaknya berhubung permasalahan dialami pengguna perkhidmatan e-hailing adalah sekitar tahun 2019 dan 2020.

Menurutnya, sejak 2024 sehingga kini, tiada sebarang aduan direkodkan melibatkan pemandu e-hailing, namun penguatkuasaan tetap dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan sedia ada.

“Sekiranya terdapat aduan diterima, kita akan terus melaksanakan tindakan penguatkuasaan terhadap pemandu e-hailing yang terlibat,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Ibu Pejabat JPJ Terengganu di sini pada Khamis.

banner

Beliau berkata, setakat ini tahap pematuhan pemandu perkhidmatan e-hailing di Terengganu adalah memuaskan berdasarkan operasi dan pemeriksaan yang dijalankan, selain ketiadaan aduan daripada pengguna.

Mengulas dakwaan mengenai pemandu e-hailing yang mengenakan bayaran tambahan, Mohd Zamri berkata, pihaknya tidak menerima sebarang aduan berkaitan perkara tersebut di negeri ini.

Bagaimanapun jelasnya, terdapat kemungkinan bayaran tambahan berlaku disebabkan faktor lain seperti permintaan penumpang untuk menukar destinasi, mengubah laluan atau meminta pemandu menunggu di luar tempoh yang ditetapkan dalam aplikasi.

“Dalam keadaan sebegini, caj tambahan yang tidak dipaparkan dalam aplikasi boleh berlaku. Pengguna perlu memahami bahawa sebarang perubahan perjalanan perlu dibuat melalui permohonan asal dalam aplikasi bagi mengelakkan timbul isu caj tambahan,” katanya.

Beliau turut menegaskan, sekiranya terdapat aduan disertakan bukti, JPJ tidak teragak-agak mengambil tindakan termasuk mengeluarkan kompaun atau membawa kes ke Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk tindakan lanjut, termasuk pendakwaan di mahkamah jika perlu.

Menurutnya, tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 23 Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan menyalahgunakan Lesen Kenderaan Motor (LKM), selain Seksyen 12A(9) dan Seksyen 16 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 kerana mengendalikan perkhidmatan awam tanpa lesen pengendali yang sah.

Selain itu, beliau berkata, tanggungjawab juga terletak pada syarikat penyedia perkhidmatan e-hailing (EHO) bagi memastikan pemegang lesen mematuhi peraturan serta mengurus aduan pelanggan dengan berkesan.

Justeru, beliau menasihatkan pengguna perkhidmatan e-hailing supaya mengemukakan aduan terus kepada JPJ sekiranya berlaku sebarang isu atau pertikaian yang tidak dapat diselesaikan.

“Aduan boleh dibuat melalui e-mel eaduan@jpj.gov.my atau trafik@jpj.gov.my, atau terus menghubungi pejabat JPJ berhampiran,” katanya.

Sebelum ini, tular beberapa dakwaan yang mendedahkan masih terdapat pemandu perkhidmatan e-hailing daripada syarikat penyedia perkhidmatan e-hailing (EHO) yang didakwa beroperasi tanpa permit kenderaan e-panggilan (EVP).

Selain itu, terdapat juga dakwaan pemandu e-hailing mengenakan bayaran tambahan kepada pengguna walaupun tambang perjalanan telah dipersetujui melalui aplikasi pada peringkat awal. – Sinar Harian

Tinggalkan komen