KUALA TERENGGANU: Sembilan penghuni daripada dua keluarga hilang tempat tinggal apabila kediaman masing-masing hangus dijilat api dalam kejadian kebakaran di Kampung Kubang Buyong, Chabang Tiga, di sini, 7.50 malam ini.
Mangsa, Najihah Razed, 41, berkata dia bersyukur apabila semua ahli keluarga termasuk ibu, Putong Husain, 71, adik, dan dua anaknya berusia empat tahun dan bayi berusia dua bulan terselamat.
Katanya, ketika kejadian dia bersama ahli keluarga sedang berehat sebelum terdengar bunyi letupan kuat.
Dia yang menyangkakan berlaku kemalangan bergegas keluar sebelum mendapati asal tebal daripada rumah bapa saudaranya yang tinggal berjiran.
“Dalam keadaan panik, saya masuk semula ke dalam rumah bagi menyelamatkan ibu dan mengarahkan yang lain keluar menyelamatkan diri.
“Selesai membawa keluar ibu, saya cuba masuk semula ke dalam rumah untuk menyelamatkan barangan namun gagal apabila api semakin marak dan mula menghinggapi dinding bilik saya,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Katanya, dia percaya letupan berpunca daripada tong gas memasak di rumah bapa saudaranya.
Susulan kejadian, dua keluarga terbabit tinggal sehelai sepinggang apabila semua barangan tidak dapat diselamatkan.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, Thoyyibah Taib, berkata, kebakaran membabitkan tiga rumah dengan dua daripadanya musnah dalam 80 peratus manakala sebuah lagi sebanyak lima peratus.
“Seramai 13 anggota dari BBP Kuala Terengganu dan tujuh dari BBP Jalan Kota bersama tiga jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Ketika tiba, api sedang marak dan anggota berusaha mengawal kebakaran daripada merebak berikutan angin kuat.
“Semua mangsa berjaya menyelamatkan diri dan api berjaya dikawal jam 8.13 malam. Siasatan masih dijalankan,” katanya. – Metro
