Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
KEMAMAN: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun meninggal dunia selepas tercekik biji buah rambutan, di Felda Neram 1, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kemaman Superintenden Mohd. Razi Rosli berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 tengah hari, mangsa dikatakan sedang makan rambutan bersama kakaknya yang berusia enam tahun.
“Kakak mangsa telah mengupas buah rambutan dan memberinya kepada mangsa.
“Mangsa dikatakan secara tiba-tiba tercekik menyebabkan suara mangsa tersekat-sekat kerana biji buah rambutan yang dimakan tersangkut di kerongkong,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohd. Razi berkata, mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 2.50 petang di Hospital Kemaman dan hasil bedah siasat mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat tercekik dan terdapat biji buah rambutan pada kerongkong mangsa,” katanya. – Suara Timur
