Negeri

Projek Pusat Komersial Kuala Ping terbengkalai

KUALA TERENGGANU: Projek Pusat Komersial Kuala Ping, Telemong, Hulu Terengganu yang menelan belanja kira-kira RM26.6 juta dilaporkan terbengkalai sejak 2019.

Projek tersebut yang mula dibangunkan pada tahun 2017, sepatutnya siap pada tahun 2020.

Menurut pendedahan di Facebook Greater Terengganu Development hari ini, difahamkan projek ini pada mulanya berjalan lancar, namun kelewatan mula dikesan pada tahun 2019.

Katanya, laporan Ketua Audit Negara mengesahkan bahawa punca kelewatan adalah disebabkan kontraktor lewat menerima bayaran, bukannya kerana kontraktor tidak kompeten.

“Ini agak menghairankan kerana pada tahun 2019, kerajaan Terengganu menerima dana petroleum sebanyak RM1.7 bilion daripada Kerajaan Pusat,” ujarnya.

Katanya, projek ini diberikan tiga kali lanjutan masa, namun, pada Oktober 2023, kedua-dua pihak, iaitu kerajaan dan kontraktor, bersetuju untuk menamatkan kontrak secara baik. Sehingga Julai 2024, projek ini masih terbengkalai dan tidak diketahui apa nasib seterusnya

“Tujuan pendedahan ini bukanlah untuk menyalahkan sesiapa, tetapi untuk menjelaskan bahawa projek terbengkalai kadang-kadang disebabkan oleh kesilapan manusia, kecuaian dan masalah di luar kawalan, dan bukannya rasuah,” katanya. – Suara Timur

Related Posts