KUALA NERUS: Kedatangan pemandu lori ke program RXZ Members 7.0, di sini, membawa tuah apabila membawa pulang Toyota Alphard selepas diumum memenangi hadiah utama cabutan bertuah, semalam.
Zulhapis Seman, 36, dari Felda Lepar Hilir 2, Gambang, Kuantan, Pahang berkata, dia tidak pernah mengimpikan untuk memiliki kenderaan mewah itu kerana tiada kemampuan kewangan selain bukan satu keperluan.
Menurutnya, dia menganggap kemenangan itu adalah rezeki dua anaknya berusia lima dan satu setengah tahun yang masih kecil.
“Ini rezeki anak kerana saya akan menjual kenderaan ini dan duit hasil jualan itu boleh saya gunakan untuk keperluan keluarga dan masa depan anak.
“Semua orang mengimpikan untuk memiliki kenderaan mewah, tetapi bukan semua mampu memilikinya. Jadi apabila sudah, saya akan gunakan seketika untuk kegunaan keluarga,” katanya.
Menurut Zulhapis, dia sudah mengikuti program RXZ Members sejak tiga tahun lalu dan menunggang motosikal berkenaan yang dibeli dengan harga RM1,700 bersama rakan untuk ke program berkenaan.
Katanya, dia mengakui kedatangan ke program berkenaan untuk menyertai cabutan bertuah selain mahu mencari kepuasan berkonvoi bersama rakan.
“Saya sudah banyak kali menyertai cabutan bertuah ,tetapi tidak pernah memenangi hadiah sama ada kecil atau besar. Sebab itu apabila nombor saya naik, saya rasa seperti tidak percaya,” katanya. – Harian Metro