Home NegeriBot nelayan tempatan dikendali awak-awak warga asing ditahan

Bot nelayan tempatan dikendali awak-awak warga asing ditahan

oleh suara timur

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kemaman menahan sebuah bot nelayan tempatan yang dikendalikan awak-awak warga asing dalam operasi penguatkuasaan di perairan Kuala Kemaman, kira-kira pukul 12.30 tengah hari semalam

Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Abdul Halim bin Hamzah berkata, penahanan dilakukan ketika bot ronda Maritim Malaysia melaksanakan rondaan rutin Op IMAN sebelum mengesan pergerakan mencurigakan sebuah bot nelayan pada jarak 10.5 batu nautika dari Muara Kuala Kemaman.

Jelas beliau, pemeriksaan awal mendapati bot berkenaan dikendalikan seorang tekong warga tempatan bersama tiga awak-awak warga Kemboja berusia antara 33 hingga 42 tahun.

banner
BOT nelayan tempatan yang dikendalikan warga asing ditahan di di perairan Kuala Kemaman.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, tiga awak-awak terbabit disyaki melanggar syarat sah lesen kerana tidak mempunyai kebenaran bekerja di atas vesel daripada Jabatan Perikanan Malaysia, sekali gus melanggar peruntukan di bawah Akta Perikanan 1985,” tambah beliau.

Abdul Halim turut berkata, kesemua awak-awak terbabit turut disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 berikutan status pasport yang meragukan.

Susulan itu, tambahnya, bot bersama tekong dan awak-awak, hasil laut dianggarkan seberat 2,500 kilogram serta kira-kira 5,000 liter minyak diesel ditahan dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63, manakala semua individu terlibat dibawa ke jeti Maritim Malaysia bagi tujuan dokumentasi dan siasatan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Abdul Halim menegaskan, Maritim Malaysia akan terus memperketat rondaan dan penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti perikanan haram serta memastikan keselamatan perairan negara terpelihara. – Suara Timur

Tinggalkan komen