Negeri

Tempahan jahit baju raya dah tutup

KUALA TERENGGANU:  Berbaki tidak sampai dua bulan lagi sebelum sambutan Aidilfitri, tukang jahit di daerah ini tidak menerima tempahan jahitan pakaian sejak Disember tahun lalu.

Beberapa tukang jahit yang ditemui di ruang niaga Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) di sini memaklumkan tidak mahu berdepan risiko gagal menyiapkan tempahan pelanggan pada masa yang ditetapkan sekiranya mengambil terlalu banyak tempahan.

Tukang jahit, Azizah Endut, 60, berkata, dia mula menerima tempahan sejak Oktober tahun lalu dengan kebanyakannya adalah pelanggan tetap.

“Setiap tahun yang datang adalah pelanggan tetap, jadi mereka sudah faham kain perlu dihantar awal supaya ia dapat disiapkan sebelum Aidilfitri.

“Jadi, tempahan untuk buat pakaian raya sudah ditutup pada Disember tahun lalu dan sekarang ini, saya hanya menyiapkan tempahan yang dihantar lebih awal,” katanya yang sudah lebih 30 tahun menjahit.

Bagi Rohana Abdul Rahman, 60, dia mula berhenti mengambil tempahan pada Disember tahun lalu selepas menerima lebih 200 pasang kain pada perayaan kali ini.

“Saya menjahit seorang, jadi memang tidak berani mahu ambil tempahan banyak dan terima sekadar termampu selain mahu jaga kualiti.

“Namun, ada juga pelanggan tetap yang sudah menempah terlebih awal, itu saya terima kain yang dihantar dengan syarat kain yang dihantar tidak banyak dan disiapkan selepas selepas raya.

“Ada pelanggan tidak kisah pakaian mereka siap selepas raya kerana ia masih boleh digayakan ketika berkunjung ke rumah terbuka sepanjang bulan Syawal,” katanya yang hanya menjahit pakaian wanita seperti baju kurung moden dan baju kurung pesak.

Rohana berkata, dia mampu menyiapkan tiga pasang baju sehari dan kerja-kerja menjahit dilakukan sepenuhnya di kedainya.

“Saya memang tidak berani mahu ambil tempahan banyak-banyak kerana takut tidak dapat menyiapkan pakaian itu pada masa yang dijanjikan, lebih baik saya tolak awal-awal daripada memberi harapan palsu kepada pelanggan,” katanya. – Metro

Related Posts