Negeri

Pengusaha khidmat urutan, kecantikan terima barangan bernilai RM6,000

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

DUNGUN: Seorang pengusaha perkhidmatan urutan dan kecantikan wanita daerah ini menerima barangan bernilai RM6,000 menerusi Program Sokongan Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar (SPKLB).

Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Negeri Terengganu, Dr. Faridah Mat berkata, SPKLB merupakan salah satu program di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Menurutnya, program SPKLB ini bertujuan untuk menyediakan kemudahan sokongan kepada para usahawan luar bandar yang ingin mengukuhkan dan mengembangkan perniagaan mereka.

“Program ini juga dapat menyediakan peluang kepada usahawan untuk membangunkan produk dan perkhidmatan mereka bagi tujuan pemasaran yang lebih luas,” katanya.

DR. FARIDAH Mat (tengah) menyampaikam replika cek kepada Noraishah Abd. Rashid (kanan) sambil ditemani Zaini Muhamad pada
Majlis Penyerahan Bantuan Barangan SPKLB Tahun 2025 KEMAS Negeri Terengganu di Plumeria SPA & Beauty, Kampung Pak Sabah, Dungun, hari ini.  – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Beliau berkata demikian sempena Majlis Penyerahan Bantuan Barangan SPKLB Tahun 2025 KEMAS Negeri Terengganu yang diadakan di Plumeria SPA & Beauty, Kampung Pak Sabah, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pegawai KEMAS Daerah Dungun, Zaini Muhamad dan penyelia KEMAS Daerah Dungun.

Pada majlis tersebut, usahawan bimbingan KEMAS Daerah Dungun, Noraishah Abd. Rashid yang merupakan usahawan perkhidmatan urutan dan kecantikan wanita “Plumeria SPA & Beauty” menerima Hair steamer, Portable oxygen injector, Electric towel warmer, SPA 7 colour PDT facial LED light therapy, Facial lamp, Skin scanner with LCD screen, Facial bed dan 3 in 1 facial steamer.

Dr. Faridah berkata, program SPKLB ini telah lama diperkenalkan dan dua tahun lalu KEMAS Terengganu menerima RM10,000 untuk diagihkan dalam lima bidang iaitu bidang masakan / pembuatan makanan, bidang jahitan, bidang pendadanan diri, bidang kraftangan dan bidang komputer.

“Tahun lepas kita mendapat lima projek yang mana kebanyakannya tertumpu kepada bidang masakan / pembuatan makanan. Setiap tahun memang ada projek tetapi bergantung kepada bajet kerajaan.

“Pada ahun ini, KEMAS Terengganu mendapat dua projek, satu di Dungun dan satu lagi Hulu Terengganu. Kedua dua projek ini merupakan bidang pendadanan diri dan pembuatan makanan,” ujarnya.

Noraishah Abd. Rashid merawat pelanggan di Plumeria SPA & Beauty di Kampung Pak Sabah, Dungun, hari ini.- SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Beliau memberitahu, semua pemohon merupakan peserta KEMAS yang telah mengikuti kursus anjuran KEMAS Terengganu.

Jelasnya, mereka layak memohon bantuan dan pihaknya akan menilai dari segi keperluan dan syarat sebelum permohonan dihantar kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah untuk diluluskan.

“Apabila permohonan diluluskan, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah akan membeli peralatan yang diperlukan oleh peserta dan menyerahkan kepada KEMAS negeri untuk diserahkan,” katanya.

Tambahnya, KEMAS juga menawarkan kursus gunting rambut kepada golongan belia dengan mengikuti kursus selama tiga hari dan bantuan sebanyak RM2,000 hingga RM5,000 kepada peserta yang berjaya.

“Di Dungun KEMAS juga telah mengenal pasti seorang peserta masakan dan KEMAS akan membekalkan “Smart Cabin” yang bernilai RM30,000 termasuk peralatan dalam masa terdekat,” katanya.

Sementara itu, Noraishah Abd. Rashid ketika ditemui Suara Timur berkata, Plumeria SPA & Beauty ditubuhkan pada tahun 2024 dengan anggaran kos sebanyak RM2,000 hingga RM5,000.

Katanya, beliau pernah mengikuti kursus Quickwin, Kursus Coaching Keusahawanan , Kursus Pemasaran Digital anjuran KEMAS Daerah Dungun.

“Harapan saya di masa hadapan Plumeria SPA & Beauty dapat membuka cawangan lain dan membuka sebuat pusat bertauliah,” katanya.

Noraishah memberitahu, ntara produk yang dikeluarkan oleh Plumeria SPA & Beauty ialah Minyak Aura Seri Wajah, Scrub kopi dan Minyak Urutan Badan. – Suara Timur

Related Posts