Negeri

Awas!, MTL belum berakhir

Oleh MOHD. LAZIM ENDUT

MARANG: Terengganu sememangnya cukup terkenal dengan keindahan alam semulajadi kerana memiliki pelbagai sumber penting seperti laut, pantai dan pulau menjadikan ia terus mendapat perhatian pelancong sama ada dari dalam atau luar negara.

Jajaran pantainya yang putih dan bersih sepanjang 225 kilometer dengan lambaian pepohon kelapa seakan menambah seri sesiapa sahaja yang mengunjungi pantai negeri ini.

Malah, keunikan ketiga-tiga sumber berkenaan merupakan aset penting bagi industri pelancongan di Terengganu.

Ini kerana produk berkenaan juga mampu menjadi daya tarikan utama kepada orang luar yang berkunjung ke sini.

Maka itu, setiap cuti umum dan hujung minggu, kita dapat perhatikan berpusu-pusu pengunjung akan menyerbu ke pulau-pulau peranginan untuk berkelah sambil melakukan pelbagai altiviti termasuk mandi manda, memancing, selam skuba dan sebagainya.

Bagi yang tidak berkesempatan ke pulau, mereka memilih untuk berkelah di pesisir pantai untuk melakukan aktiviti riadah bersama keluarga atau sahabat handai.

Namun, awas!, sepanjang bulan Januari hingga Mac pesisir pantai Terengganu sebenarnya masih belum selamat untuk melakukan sebarang aktiviti walaupun hanya mencari remis, kerang atau ketam.

Ini memandangkan musim tengkujuh atau Monsun Timur Laut (MTL) di Terengganu belum lagi berakhir!

Berdasarkan pengalaman penulis sebagai anak laut, sepanjang musim ini laut masih bergelora dengan tiupan angin kencang beserta ombak besar yang boleh mengancam keselamatan pengunjung.

Malangnya, penulis mendapati terdapat ramai pengunjung tidak menyedari di sebalik keasyikan dan keseronokan melakukan aktiviti mencari remis atau ketam di birai ombak, sebenarnya terdapat ancaman bahaya tersembunyi.

Sejak dari kecil lagi penulis pernah diberitahu orang dulu-dulu keadaan laut di kawasan perairan Terengganu termasuk di pesisir pantai bukanlah selamat untuk dikunjungi sepanjang masa.

Setiap aktiviti berkaitan laut sebenarnya hanya terhad dilakukan pada musim tertentu sahaja, iaitu antara Mac hingga Oktober.

Manakala dalam tempoh empat bulan yang masih berbaki iaitu November hingga Febuari pula perairan Terengganu dikategorikan sebagai berbahaya kerana sepanjang bulan tersebut ia masih berada dalam musim tengkujuh.

Walaupun ada ketika keadaan laut kelihatan tenang, tetapi tiupan angin monsun Timur Laut belum berakhir.

Angin kencang datang secara tiba-tiba, menyebabkan mereka yang berada di pulau-pulau akan terperangkap dan terpaksa menunggu suasana kembali tenang untuk pulang ke daratan.

Sebab itulah sepanjang musim tengkujuh ini rata-rata nelayan pesisir pantai tidak keluar ke laut dan masih melabuhkan bot-bot mereka di dalam kuala atau muara sungai.

Ada pula yang menyadaikan bot di daratan bagi mengecat atau membaiki mana-mana bot yang bocor.

Begitu juga dengan pusat-pusat peraginan di pulau, masih banyak pengusaha terbabit yang mengambil sikap berhati-hati dan tidak beroperasi penuh selagi belum berakhir musim tengkujuh.

Sepanjang tempoh tersebut setiap aktiviti berkaitan laut dan juga di pesisir pantai tidak sesuai dilakukan walaupun secara fizikalnya keadaan laut dan ombak kelihatan tenang seperti di dalam sungai.

Namun, berdasarkan pengalaman penulis yang pernah menjadi ‘anak laut’, sebaik melepasi muka kuala, bot terpaksa memperlahankan kelajuannya kerana permukaan kuala yang bergelombang dan berombak.

Masih segar dalam ingatan penulis pesanan orang tua dulu-dulu yang bekerja mencari rezeki di laut.

Mereka membuat penanda aras mengatakan berakhirnya musim tengkujuh ialah setelah masyarakat Cina selesai menyambut Chap Goh Meh.

Selepas itu barulah nelayan akan keluar ke laut untuk mencari rezeki dengan perasaan tenang.

Bagi kebanyakan nelayan pantai, mereka menganggap Febuari sebagai musim persediaan untuk ‘buka kuala’, iaitu musim peralihan menandakan bahawa musim tengkujuh akan berakhir.

Bagaimanapun, ada juga dalam kalangan nelayan pantai masih bimbang untuk ke laut pada Februari kerana keadaan laut dikatakan masih berisiko tinggi di mana sering muncul gulungan ombak ‘ekor naga’ dan arus agak deras di bahagian bawah laut.

Bagi penulis, kepercayaan dan amalan nelayan dahulu mungkin ada benarnya kerana perairan Terengganu termasuk di pesisir pantai sentiasa meragut nyawa manusia pada Januari dan Februari dalam keadaan tidak terkawal dan tanpa sedar.

Sebagai contoh, kejadian pada 7 Febuari 2008, tiga nyawa terkorban melibatkan seorang pelancong dan dua sahabatnya yang ditarik ombak secara tiba tiba ke laut ketika sedang mencari ketam di Pantai Peranginan Kelulut Marang.

Kejadian itu seolah-olah mengulangi peristiwa pada akhir Febuari 2005 di mana ia telah meragut nyawa seorang guru bersama lima pelajar Sekolah Menengah Agama Tok Jiring, Kuala Nerus yang sedang mandi manda di kawasan air tenang di Pantai Merang, Setiu sebelum tiba-tiba dipukul ombak besar setinggi dua meter sebelum dihanyut arus deras ke laut.

Walaupun kejadian itu telah lama berlalu, penulis ingin menasihati kepada pengunjung pantai agar tidak terlalu ghairah dengan laut, pantai dan pulau, sebaliknya mereka perlu berhati-hati ketika berada di lokasi tersebut.

Hal ini disebabkan penulis mendapati beberapa kejadian yang berlaku sebelum ini kebanyakannya berpunca daripada kelalaian manusia.

Mereka terlalu ghairah melakukan aktiviti di pantai dan laut sedangkan musim tengkujuh belum berakhir.

Malah, banyak kejadian mati lemas yang berlaku di kawasan pantai di negeri ini disebabkan mereka tidak megetahui keadaan sebenar mengenai laut dan pantai di sesuatu tempat di samping tidak tahu berenang.

Oleh itu, bagi mereka yang ingin ‘bermain’ pantai dan laut bersama keluarga atau sahabat handai di Batu Burok, Chendering, Tok Jembal, Teluk Ketapang, Kelulut, Teluk Lipat, Teluk Gadong, Pantai Air Tawar, Rhu Sepuluh, Merang dan Teluk Mak Nik seharusnya mengambil pengajaran di atas kejadian lalu di samping turut mengambil tahu keadaan pantai terbabit.

Ia penting kerana laut dan pantai Terengganu boleh mengancam nyawa manusia sekiranya tidak berhati-hati.

Jangan disangka keadaan laut yang tenang dan cetek itu selamat untuk aktiviti mandi manda sedangkan di dasarnya tersembunyi pelbagai ancaman yang boleh membawa tragedi. – Suara Timur

Related Posts