Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
KUALA TERENGGANU: Trend mengumpul barangan misteri atau ‘blind box’ semakin menjadi kegilaan dalam kalangan kanak-kanak dan remaja, namun dalam masa yang sama ia dilihat memberi tekanan kewangan kepada ibu bapa.
‘Blind box’ atau kotak misteri merujuk kepada permainan atau figura yang dijual tanpa pendedahan awal terhadap watak atau rekaan di dalamnya, menyebabkan pembeli perlu membeli berulang kali bagi melengkapkan koleksi.
Naib Presiden Kebangsaan (Timur) Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN), Datuk Mohd Faiz Zulkifli berkata, konsep jualan secara misteri itu mampu menimbulkan ketagihan, terutama dalam kalangan kanak-kanak yang belum matang dalam membuat pertimbangan kewangan.
“Elemen kejutan dalam ‘blind box’ memberi rasa keterujaan sementara, sama seperti mekanisme yang berlaku dalam perjudian ringan.

“Kanak-kanak akan terdorong membeli lagi bagi mendapatkan watak yang diingini,” katanya ketika dihubungi di sini.
Beliau berkata, kesan trend itu kini bukan sekadar kepada kanak-kanak, tetapi turut memberi tekanan kepada ibu bapa yang terpaksa mengeluarkan perbelanjaan berlebihan demi memenuhi permintaan anak mereka.
“Ada ibu bapa yang sanggup berhabis ratusan ringgit setiap bulan hanya untuk memenuhi keinginan anak semata-mata tidak mahu anaknya merajuk atau bermasam muka.
“Ini boleh menjejaskan kestabilan ekonomi keluarga jika tidak dikawal,” katanya.
Jelasnya lagi, dalam keadaan ekonomi yang semakin mencabar ini trend baharu itu menyembunyikan isu yang jauh lebih besar iaitu ketidakpastian dalam jual beli, pembaziran wang, dan kesan sosial terhadap pengguna muda serta ibu bapa.
“Pada pandangan pertama, ia nampak seperti satu bentuk hiburan kecil atau koleksi menyeronokkan. Namun apabila diteliti secara mendalam ia banyak memberikan kesan tidak baik.
“Tambahan pula, fenomena ini semakin merebak di seluruh negara. Kedai-kedai menjual kotak misteri kini tumbuh ibarat cendawan selepas hujan, malah sebahagian besar menjadikan kanak-kanak dan remaja sebagai sasaran utama melalui iklan berwarna-warni dan strategi promosi yang memancing emosi, “ujar beliau.
Menurut Mohd Faiz, trend ini menambah kan lagi beban kewangan bagi keluarga B40.
“Ada ibu bapa yang mengeluh apabila anak-anak mendesak untuk membeli hanya kerana terpengaruh dengan video ‘unboxing’ yang tular di media sosial. Ia menjadi satu bentuk ‘perjudian kecil’ yang dibungkus dalam gaya permainan.
“Inilah yang membimbangkan MTPN. Fenomena sebegini bukan sekadar isu hiburan, tetapi menyentuh hak pengguna untuk mendapat maklumat yang jelas, hak untuk membuat pilihan bijak, serta hak untuk dilindungi daripada amalan pasaran yang menipu atau mengelirukan, “katanya.
Sementara itu, tinjauan mendapati harga satu ‘blind box’ boleh mencecah antara RM25 hingga RM80 bergantung kepada jenama dan edisi, malah ada yang dijual secara edisi terhad hingga mencecah ratusan ringgit di pasaran.
Seorang ibu, Roslina Alias, 36, berkata, anak perempuannya yang berusia sembilan tahun turut terpengaruh dengan trend tersebut selepas menonton video di media sosial.
Katanya, anaknya akan berusaha memujuknya untuk membeli setiap koleksi figura kegemarannya untuk disimpan.
“Dia sanggup tak berbelanja di kantin sekolah semata-mata mahu kumpul duit untuk beli ‘blind box’.
“Pernah juga saya belikan dia satu kotak blind box harga RM50 semata-mata tak mahu lihat dia bermasam muka dan mahu mengelak tertekan dengan keadaan itu,” katanya. – Suara Timur
