Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
KEMAMAN: Seorang lelaki warga emas berusia 86 tahun maut dalam kemalangan dengan sebuah kereta di simpang masuk Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Binjai, Kilometer 8, Jalan Chukai Air Putih menghala ke Chukai di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli berkata, kejadian berlaku sekitar pukul 8 malam ketika mangsa, Wee Hin Tin berjalan kaki melintas jalan dari tengah jalan hendak ke bahu jalan sebelah kiri.

Menurutnya, kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa secara tiba-tiba melintas jalan dari tengah jalan hendak ke bahu jalan sebelah kiri hendak pulang ke rumah selepas minum di sebuah kedai di simpang masuk SMK Binjai.
“Siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku apabila sebuah kereta Ford Fiesta yang dipandu seorang wanita berusia 25 tahun dalam perjalanan dari Binjai menuju ke Bandar Chukai terlanggar mangsa akibat jarak yang terlalu dekat.
“Akibat pelanggaran itu, mangsa tercampak ke bahu jalan sebelah kiri telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi Suara Timur.
Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk bedah siasat dan manakala pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Suara Timur