Negeri

Kelantan sasar pembangunan bandar pintar menjelang 2040 – Menteri Besar

KOTA BHARU: Kelantan berhasrat merealisasikan pembangunan bandar pintar menjelang 2040 sebagai sebahagian daripada pelan transformasi negeri ke arah lebih efisien dan sistematik.

Menteri Besar, Datuk Mohd Nassuruddin Daud, berkata agenda bandar pintar ini telah diformulasikan mengikut acuan negeri dan Kerajaan Kelantan sentiasa menggalakkan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan semua yang berkepentingan untuk menghasilkan idea, kreativiti dan inovasi yang unik.

Beliau berkata, pelancaran rasmi Blueprint Bandar Pintar Negeri Kelantan 2040 bukan sekadar memperkenalkan sebuah dokumen dasar, malah menandakan satu anjakan paradigma dalam mentadbir, merancang dan membangunkan negeri ini secara lebih komprehensif, pintar dan berpaksikan tuntutan.

AGENDA Bandar Pintar Negeri Kelantan diformulasikan mengikut acuan negeri dengan  mengambil kira aspek teknologi dan kemodenan, selain prinsip maqasid Syariah dan dasar Membangun Bersama Islam.

“Menerusi inisiatif itu, ia bukan sahaja mengambil kira aspek teknologi dan kemodenan, malah disepadukan dengan prinsip maqasid Syariah dan dasar Membangun Bersama Islam.

“Pelaksanaan pembangunan bandar pintar ini akan dilaksanakan berpandukan dokumen rasmi Blueprint Bandar Pintar Negeri Kelantan 2040 yang berteraskan tujuh komponen bandar pintar, 35 dasar, 107 strategi, 198 inisiatif dan 238 sasaran yang melibatkan 121 agensi pelaksana,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada perasmian Majlis Pelancaran Blueprint Bandar Pintar Negeri Kelantan 2040 di Dewan Auditorium Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN) Kompleks JKKN Kelantan di sini hari ini.

Mohd Nassuruddin berkata, kerajaan negeri perlu bergerak di atas landasan yang betul bagi memastikan sasaran dan hala tuju dokumen rangka tindakan ini tercapai menjelang 2040.

Beliau berkata, ia merupakan suatu keperluan strategik bagi memperkukuh tadbir urus, mempercepat peyampaian perkhidmatan dan memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara. – Berita Harian

Related Posts