Home NegeriJPJ Terengganu sita 806 motosikal sejak Januari

JPJ Terengganu sita 806 motosikal sejak Januari

oleh suara timur

KUALA TERENGGANU: Sebanyak 806 motosikal disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu menerusi Operasi Motosikal 2025 yang diadakan bermula Januari hingga semalam.

Pengarahnya, Mohd Zamri Samion berkata, sepanjang tempoh itu pihaknya memeriksa sebanyak 81,107 motosikal dan lebih 16,000 daripada jumlah itu dikenakan tindakan membabitkan pelbagai kesalahan kesalahan lalu-lintas dan teknikal

Menurutnya, antara kesalahan tertinggi direkodkan ialah lesen memandu (CDL) tamat tempoh membabitkan 5,660 kes diikuti tiada insurans sebanyak 5,472 kes serta tiada CDL dengan 5,228 kes.

“JPJ juga mengesan 2,849 kes penunggang tidak memakai topi keledar, 3,346 kes tidak mematuhi lampu isyarat selain 369 kes pemandu bawah umur,” katanya pada sidang media Operasi Motosikal 2025 di Jalan Sultan Mahmud, di sini, malam tadi.

banner
SEBAHAGIAN daripada motosikal yang disita JPJ Terengganu pada tahun ini.

Katanya, kesalahan lain yang dikesan termasuk tidak mempamer pelekat ‘P’ (1,031 kes), menggunakan telefon bimbit semasa menunggang (lima kes) serta 1,779 kes kesalahan lain-lain.

Bagi kesalahan teknikal pula, katanya, nombor pendaftaran tidak mematuhi spesifikasi mencatat jumlah tertinggi dengan 2,497 kes, diikuti cermin sisi (1,213 kes), ubah suai kenderaan (379 kes) dan ekzos tidak mematuhi peraturan (365 kes).

“Kesalahan teknikal lain membabitkan tayar (243 kes), lampu brek (164 kes) serta 1,081 kes lain-lain kesalahan teknikal, menjadikan keseluruhan 32,051 kesalahan direkodkan sepanjang tempoh operasi,” katanya.

Mohd Zamri berkata, dalam tempoh sama, JPJ mengeluarkan sebanyak 34,266 notis merangkumi notis saman, notis larangan penggunaan kenderaan dan notis arah periksa kenderaan.

Turut dikeluarkan ialah 5,803 notis panggilan temu siasat dan 645 permintaan butir pemandu mengikut Seksyen 115.

Beliau berkata, Ops Motosikal akan diteruskan secara berfokus bagi meningkatkan tahap pematuhan undang-undang serta mengurangkan kadar kemalangan membabitkan penunggang motosikal di negeri ini. – Metro

Tinggalkan komen