Negeri

PROSPEK: Peruntukan RM8 juta tingkat kesejahteraan penduduk desa

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) melalui Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) memperuntukan RM8 juta untuk meningkat infrastruktur dan ekonomi di Kampung Pasir Gajah di bawah Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (PROSPEK) pada tahun ini.

Pengurus Besarnya, Datuk Tengku Ahmad Nadzri Tengku Musa berkata, projek tersebut memfokuskan peningkatan kesejahteraan penduduk desa menerusi ekonomi, usahawan, prasarana, perumahan, pelancongan dan alam sekitar. 

“Antara projek yang dilaksanakan di bawah projek itu adalah menaik taraf Pusat Konservasi Tuntung Sungai yang bernilai RM200,000,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Pelepasan Tuntung 2025 oleh Pusat Pemuliharaan Tuntung Sungai Kampung Pasir Gajah di Dewan Orang Ramai, Kampung Pasir Gajah di sini, semalam.

SEBAHAGIAN penduduk Kampung Pasir Gajah yang hadir pada Program Pelepasan Tuntung 2025 oleh Pusat Pemuliharaan Tuntung Sungai Kampung Pasir Gajah di Dewan Orang Ramai, Kampung Pasir Gajah, Kemaman, semalam. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Hadir sama, Pengerusi Turtle Conservation Society of Malaysia, Prof. Dr. Maketab Mohamed, Pengasas Persatuan Pemuliharaan Tuntung, Kura-kura dan Labi-labi Malaysia (TCS), Dr Chen Pelf Nyok, Pengarah Bahagian Ex-Situ, Ibu Pejabat Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (PERHILITAN), Dr. Pazil Abdul Patah dan Pengarah Jabatan PERHILITAN Negeri Pahang, Rozidan Mohd Yasin.

Menurutnya, KETENGAH juga akan mengadakan kursus pembangunan produk kepada komuniti setempat bagi memperkasa kemahiran komuniti.

Katanya, seramai 10 orang komuniti wanita yang mengikuti kursus tersebut disediakan
bantuan peralatan mesin jahit berjumlah RM90,00 untuk menghasilkan produk cenderamata. 

“KETENGAH juga mengiktiraf peranan komuniti Kampung Pasir Gajah sebagai rakan strategik utama dalam menjayakan usaha ini.

“Tidak dilupakan juga rakan-rakan korporat seperti Yinson Holdings Berhad yang tampil menghulurkan dana dan sokongan, serta agensi kerajaan dan institusi akademik yang menyumbang dari sudut kepakaran.

“Saya dimaklumkan, TCS dengan kerjasama komuniti setempat telah berjaya melaksanakan pelbagai usaha konservasi yang berterusan, antaranya aktiviti mengutip telur tuntung, menetaskannya secara terkawal, dan seterusnya melepaskan anak tuntung ke habitat asal di Sungai Kemaman setiap tahun.

“Usaha ini jelas mencerminkan kesungguhan masyarakat tempatan bersama-sama NGO dalam memastikan kelestarian spesies yang semakin terancam ini terus terpelihara untuk tatapan generasi akan datang,” katanya.

Tengku Ahmad Nadzri berkata, program konservasi ini turut memberi nilai tambah dalam aspek sosioekonomi penduduk.

“Wanita-wanita tempatan diberi sokongan untuk menjana pendapatan melalui aktiviti menjahit dan menghasilkan produk berasaskan batik bercorak tuntung, sekaligus membuka peluang pendapatan baharu dan memperkasakan ekonomi komuniti setempat.

“Sokongan kewangan daripada syarikat swasta serta bantuan teknikal daripada agensi kerajaan amatlah dialu-alukan, kerana galakan daripada pelbagai pihak inilah yang akan memastikan usaha pemuliharaan ini terus berkembang dengan lebih kukuh dan mampan,” ujarnya.

Selain itu, beliau memberitahu, sebagai agensi pembangunan wilayah, KETENGAH akan terus menyalurkan kepakaran dan sumber yang ada untuk memastikan kelangsungan program konservasi ini.

“Kami juga komited membantu pembangunan fasiliti komuniti, menggalakkan aktiviti ekonomi setempat serta mempromosikan Kampung Pasir Gajah sebagai sebuah hab eko-pelancongan pendidikan berasaskan tuntung.

“Pusat Konservasi Tuntung Sungai merupakan salah satu daripada 60 produk pelancongan dalam wilayah KETENGAH,” katanya.

Tengku Ahmad Nadzri berkata, KETENGAH juga telah menyerahkan bantuan peralatan enjin bot sangkut kepada TCS dengan nilai kos RM10,000 melalui Program Pembangunan Pelancongan Desa Wilayah KETENGAH (PEDEKAT) pada tahun lalu. – Suara Timur

Related Posts