Negeri

UC TATI raih pengiktirafan Malaysia Book of Records

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Universiti College TATI (UC TATI) berjaya mencipta sejarah apabila meraih pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBR) bagi pencapaian Kehadiran Terbesar Dalam Pameran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET),  Khamis lepas.

UC TATI dalam satu kenyataan kepada Suara Timur berkata, pencapaian ini merupakan bukti kejayaan kolektif dalam Mega Fiesta TVET Polytechnic & College Community (POLYCC) 2025 yang diadakan di Dewan Perdana Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Gong Badak, Kuala Nerus, baru baru ini.

Pencapaian bersejarah ini direkodkan dengan kehadiran lebih 15,000 pengunjung sepanjang pameran berlangsung yang melibatkan 29 institusi, agensi dan pemain industri yang turut menerima sijil MBR sebagai bukti kejayaan kolektif.

Kejayaan ini bukan sahaja membuktikan komitmen UC TATI dalam memacu pendidikan TVET, malah menjadi mercu tanda kecemerlangan dalam melibatkan komuniti.

SITI Nurhanim Mohd Noh (kiri) menyampaikan sijil pengiktirafan MBR kepada Ts. Dr. Mohamad Redhwan Abd Aziz (kanan) sambil diperhatikan Dr Mohd Daud Isa (tengah) pada Majlis Pengiktirafan dan Penutupan Mega Fiesta TVET POLYCC 2025 di UniSZA, Gong Badak,Kuala Nerus, Khamis lepas.

Sementara itu, dalam ucapan Majlis Pengiktirafan dan Penutupan Mega Fiesta TVET POLYCC 2025, Pengarah Kanan (Akademik) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) Kementerian Pendidikan Tinggi, Dr. Mohd Daud Isa berkata, pencapaian ini bukan sekadar angka, tetapi membuktikan daya tarikan dan kepentingan TVET sebagai pemangkin ekonomi negara.

Menurutnya, pengiktirafan ini meletakkan UC TATI dan rakan strategik di peta negara sebagai peneraju dalam mempromosikan TVET kepada masyarakat.

“Kejayaan ini menegaskan kekuatan jaringan kolaborasi yang menjadi tunjang kepada kemajuan TVET negara. Kejayaan ini bukan sekadar mencatat rekod, tetapi bukti bahawa TVET semakin diyakini sebagai laluan masa depan yang mampu melahirkan modal insan berkualiti tinggi.” katanya.

Hadir sama Dekan Jabatan Pengurusan Penyelidikan dan Siswazah (JPPS) UC TATI, Ts. Dr. Mohamad Redhwan Abd. Aziz dan Pegawai Pemantau dari Malaysia Book of Records, Siti Nurhanim Mohd Noh.

Mega Fiesta TVET POLYCC 2025 anjuran Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) itu berjaya menggabungkan elemen pendidikan, sukan dan komuniti melalui aktiviti seperti Kayuhan Bersama Lagenda, Career Fest, Persidangan Antarabangsa, serta Kayak Merdeka.

Aktiviti berimpak tinggi ini bukan sahaja menggabungkan elemen pendidikan, sukan dan komuniti, malah menjadi platform pendedahan kerjaya, inovasi penyelidikan dan pembangunan kemahiran.

Program anjuran PSMZA dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) Kementerian Pendidikan Tinggi ini pada awalnya menyasarkan penglibatan seramai 30,000 pengunjung, namun berjaya menarik penyertaan lebih empat kali ganda daripada sasaran tersebut. – Suara Timur

Related Posts