SHAH ALAM: Pemantauan terhadap mana-mana individu termasuk ahli politik atau sesiapa yang dilabel sebagai individu di bawah kawalan Pejabat Kawalan Perjalanan (TCO) adalah sah daripada segi undang-undang selagi tidak menyekat hak mereka untuk bergerak dengan bebas.
Peguam, Mohamad Haziq Mohamad Asman berkata, tindakan memantau itu hanya menyalahi undang-undang jika ia menyekat seseorang daripada bergerak dari satu tempat ke tempat lain tanpa alasan yang kukuh
Beliau berkata, seseorang individu mempunyai hak dan kebebasan untuk bergerak dengan bebas tertakluk kepada undang-undang berhubung keselamatan awam.
“Mengikut undang-undang, ia tidak salah dan sah untuk membuat pemantauan selagi TCO tidak menghalangnya untuk bergerak ke mana-mana.
“Berdasarkan situasi yang berlaku kepada Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, beliau tidak dihalang atau disekat bergerak ke mana-mana. Melainkan kalau beliau masuk ke Sabah dan Sarawak yang memerlukan kebenaran kerana kuasa autonomi imigresen yang dimiliki oleh dua negeri berkenaan.
“Selagi juga seseorang itu tidak melanggar atau menggugat keselamatan negara, jadi ia masih tidak salah untuk gunakan TCO,” katanya kepada Sinar Ahad.
Dalam pada itu, mengulas berkenaan kuasa autonomi imigresen Sabah dan Sarawak, Mohamad Haziq berkata, kedua-dua negeri berkenaan memang memerlukan kebenaran pas sempadan daripada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
“Selepas melepasi pas sempadan barulah JIM akan cop pada dokumen perjalanan. Sabah dan Sarawak memang mempunyai hak untuk memantau pergerakan seseorang individu dalam wilayah berkenaan.
“Ia pernah berlaku pada 2016 ketika Pilihan Raya Negeri Sarawak, apabila pembangkang atau ahli politik tertentu tidak dibenarkan masuk kerana negeri itu mempunyai kuasa untuk menghalang,” jelasnya.
Pada Jumaat, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa beliau sendiri tidak terkecuali daripada penguatkuasaan TCO yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa sempadan negara.
Menurut Anwar, tindakan tersebut bukan hanya terhad kepada tokoh pembangkang atau individu tertentu, sebaliknya turut melibatkan semua kenamaan termasuk dirinya selaku ketua kerajaan.
Melalui sistem keselamatan negara, TCO ialah bentuk penandaan terhadap individu yang dianggap berisiko oleh pihak tertentu walaupun tanpa sebarang kesalahan dibuktikan secara sah. – Sinar Harian