Negeri

Pencemaran udara gas bocor pulih berada di tahap normal

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Pencemaran udara susulan kebocoran gas butana di tapak Projek Seksyen 5, ECRL di Kampung Chabang, Kerteh di sini pada Sabtu lalu telah pulih apabila berada di tahap normal, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli berkata, alat pengesan gas
yang dipasang di lapan lokasi dipantau itu
kini berada pada tahap normal dengan catatan kosong (0).

“Laporan terkini kebocoran paip gas setakat jam 12 tengah hari tadi di lapan lokasi yang diletakkan alat pengesan gas mendapati bacaan yang dicatatkan adalah kosong termasuklah berhampiran dengan terowong,” katanya.

Selain itu, beliau memberitahu, penduduk setempat juga tidak perlu bimbang dan boleh menjalankan aktiviti seperti biasa.

“Situasi terkini disahkan terkawal dan selamat, masyarakat tidak perlu rasa bimbang dan boleh menjalankan aktiviti harian seperti biasa.

“Pihak berkuasa masih lagi memantau situasi dengan rapi dan akan mengeluarkan kenyataan lanjut dari semasa ke semasa,” ujarnya.

Mohd Razi menambah, seramai 21 penghuni Pusat Tahfiz Al-Muqarabbin yang dipindahkan kelmarin telah dibenarkan pulang semula ke pusat pengajian berkenaan, hari ini.

“Orang awam turut dinasihatkan supaya tidak menghampiri kawasan kejadian dan mematuhi arahan keselamatan yang dikeluarkan pihak berkuasa,” ujarnya.

Pada Sabtu lalu, media melaporkanlaluan dari Kerteh ke Kampung Ranggon ditutup sementara kepada semua kenderaan susulan insiden kebocoran paip gas butana di tapak Projek Seksyen 5, ECRL di Kampung Chabang, pada pukul 9.53 pagi. – Suara Timur

Related Posts