Home NegeriUCTATI pacu TVET sertai industri teknologi perlumbaan

UCTATI pacu TVET sertai industri teknologi perlumbaan

oleh suara timur

KEMAMAN: Pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman terus menjadi keutamaan apabila UCTATI Racing Team kembali menggalas cabaran dalam arena perlumbaan automotif menerusi Kejuaraan Formula Student Malaysia (FMS) yang akan berlangsung di Litar Dato Sagor bermula 21 April ini.

Penyertaan pasukan institusi pendidikan tinggi itu dilihat selari dengan usaha memperkukuh agenda TVET negara, khususnya dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja mahir secara teori, malah kompeten dalam aplikasi praktikal berteknologi tinggi.

Pengurus pasukan, Mohd Saifuldin Mohd Mokhtar, berkata platform Formula Student memberi ruang luas kepada pelajar untuk memahami proses pembangunan kenderaan dari peringkat reka bentuk hingga ke pengujian di litar.


PELAJAR-PELAJAR UCTATI membina jentera  lumba yang menjadi penanda aras kualiti pendidikan sains teknikal kejuruteraan di negeri pantai timur ini

“Ini adalah pendedahan menyeluruh kepada pelajar. Mereka terlibat secara langsung dalam pembangunan jentera, analisis prestasi serta pengurusan pasukan, yang semuanya mencerminkan keperluan sebenar industri automotif,” katanya.

banner

Menurut beliau, pengalaman berada dalam persekitaran kompetitif turut membentuk kemahiran insaniah seperti komunikasi, kepimpinan dan penyelesaian masalah dalam kalangan pelajar.

PELAJAR menggunakan kemudahan komputer untuk membangunkan sendiri jentera lumba.

UCTATI Racing Team mempertaruhkan dua jentera lumba satu tempat duduk berkonsepkan Formula yang dibangunkan sepenuhnya oleh pelajar dengan sokongan tenaga pengajar, sekali gus memperlihatkan keupayaan institusi TVET tempatan dalam menghasilkan inovasi sendiri.

Bagi pemandu, Che Hanif Haikal Che Mat, peluang mengendalikan jentera ‘Redshark’ menjadi detik penting untuk menguji kemampuan diri dalam suasana sebenar perlumbaan.

“Ia bukan sekadar berlumba, tetapi menguji kefahaman kami terhadap jentera yang dibangunkan sendiri. Setiap keputusan di litar memberi kesan kepada prestasi keseluruhan pasukan,” katanya.

Jentera lumba pasukan dibina sepenuhnya oleh pelajar-pelajar UC TATI yang turut dibantu oleh tenaga pengajar.

Seorang lagi pemandu, Eizzedin Afkar Azil Hizaq yang akan memandu ‘Blueshark’, menegaskan kepentingan disiplin dan konsistensi dalam memastikan pasukan mampu bersaing.

“Setiap pasukan mempunyai kelebihan masing-masing. Apa yang penting adalah bagaimana kami memanfaatkan peluang dan mengekalkan prestasi sepanjang perlumbaan,” ujarnya.

Formula Student Malaysia merupakan platform pertandingan kejuruteraan berasaskan konsep ‘design, build and race’ yang dianjurkan di bawah rangkaian SAE International. Program ini memberi penekanan kepada pembangunan kemahiran STEM serta inovasi dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi di seluruh dunia.

Kehadiran UCTATI Racing Team dijangka menambah warna persaingan selain memperkukuh peranan TVET sebagai pemacu utama dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi bagi industri automotif negara. – Suara Timur

Tinggalkan komen