KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) melihat tahap kandungan besi (Fe) dan mangan (Mn) yang didakwa tinggi dari sumber air bawah tanah.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, kerajaan negeri melihat perkara dengan serius sekiranya memberikan kesan tidak baik pada kesihatan.
“Jika kandungan besi dan mangan wujud, kita kena lihat sama ada merbahaya untuk kesihatan rakyat,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco di Kota Darulnaim di sini hari ini.
Mohamed Fadzli berkata, Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) sudah menaik taraf dengan melakukan pelbagai langkah bagi mengatasi masalah bekalan air bersih yang dihadapi penduduk.
Katanya, AKSB sudah mencapai banyak kemajuan dicapai dan tinggal beberapa lagi dalam tindakan.
“AKSB sudah upgrade (naik taraf) dengan melakukan pelbagai langkah untuk atasi masalah air yang kandungan besi dan mangan yang tinggi dalam air bawah tanah. Kita sebelum ini juga sudah pun atasi masalah air di negeri ini,” ujarnya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan kira-kira 600,000 penduduk Kelantan yang menggunakan air telaga dan telaga tiub berisiko menghadapi masalah kesihatan dalam jangka panjang akibat daripada kandungan besi dan mangan yang tinggi dalam air bawah tanah.
Kajian menunjukkan paras Fe di Bachok dan Kota Bharu mencecah 3.79 mg/L manakala Mn sebanyak 0.76 mg/L – jauh melebihi piawaian Kementerian Kesihatan iaitu masing-masing 0.3 mg/L dan 0.1 mg/L. Laporan Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) pula mendapati paras Fe antara 1.5 hingga 4.2 mg/L dan Mn antara 0.3 hingga 0.8 mg/L di Pasir Mas. – Utusan