Oleh BAZLI RAZAK
TANJONG MALIM: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) memulakan tahun baharu 2026 dengan penganjuran Majlis Bacaan Yasin, Tahlil dan Solat Hajat sebagai wadah memperkukuh aspek kerohanian warga universiti serta memohon keberkatan dan rahmat Allah SWT terhadap perjalanan institusi itu pada masa hadapan.
Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, majlis berkenaan bukan sekadar acara tradisi tahunan, sebaliknya menjadi medan refleksi terhadap pencapaian dan cabaran universiti sepanjang 2025, di samping menetapkan hala tuju yang lebih berpaksikan nilai keimanan dan keikhlasan pada tahun 2026.
Menurut beliau, kejayaan yang diraih UPSI sepanjang 2025 adalah hasil usaha kolektif seluruh warga universiti yang disertai doa, munajat serta pergantungan sepenuhnya kepada Allah SWT.

“Tahun 2025 adalah tahun yang cemerlang dan bernilai buat UPSI. Namun yang paling penting, segala kejayaan ini bukan hanya kerana kelengkapan, ilmu atau kepakaran yang kita miliki, tetapi kerana doa, keikhlasan dan rahmat daripada Ilahi,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan di Masjid Al-Mursyidin, Kampus Sultan Azlan Shah di sini.
Beliau turut mengimbau tragedi pada 9 Jun 2025 yang meragut nyawa 15 pelajar UPSI, yang disifatkan sebagai detik paling menginsafkan dan mencabar dalam sejarah universiti berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, pengurusan krisis yang berteraskan nilai kekeluargaan, kasih sayang dan keikhlasan telah membolehkan UPSI melalui episod sukar itu dengan baik sehingga mendapat pengiktirafan pihak luar.

Mengulas hala tuju 2026, beliau menegaskan, UPSI akan memberi penekanan khusus terhadap pengukuhan rohani warga universiti melalui pendekatan yang disifatkan sebagai ‘Kompas Hati, Kompas Iman dan Kompas Ibadah’.
Sehubungan itu, beberapa inisiatif baharu akan dilaksanakan, termasuk mewajibkan kursus kefahaman bacaan solat kepada semua staf serta pelaksanaan solat berjemaah Maghrib dan Isyak di masjid kolej kediaman bagi mahasiswa bermula minggu hadapan.

“Walau setinggi mana pencapaian kita, tanpa izin dan keberkatan Allah SWT, kita tidak akan mampu pergi jauh. Sebab itu, kita mahu memulakan tahun ini dengan membetulkan kompas hati dan iman kita,” katanya.
Dalam majlis yang sama, beliau turut mengumumkan pelancaran Tabung Ihya’ Ramadan 1447H/2026 sebagai inisiatif kebajikan bagi membantu dan memberi manfaat kepada warga UPSI yang memerlukan, khususnya menjelang bulan Ramadan.
“Pusat Islam UPSI menyasarkan jumlah RM 130,000.00 untuk tabung berkenaan meliputi program berbuka puasa harian, moreh, solat tarawih serta Majlis Tadarus dan Khatam Al-Quran Perdana,” ujar beliau. – Suara Timur
