KUANTAN: Polis merampas dadah jenis syabu seberat 468.3 kilogram yang dianggarkan bernilai RM14.9 juta di dalam sebuah kenderaan acuan empat roda yang diletakkan di bahu jalan di Kilometer 211 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) arah ke Kuantan, di sini kelmarin.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, berkata rampasan itu dilakukan pasukan peronda Lebuhraya Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Bukit Aman yang menjalankan Operasi Bersepadu (Op Utama) Zon Timur di kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Gambang, di sini.
Katanya, ketika pemeriksaan kesalahan trafik dilaksanakan, pasukan peronda menerima maklumat awam memaklumkan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis
Mitsubishi Triton berwarna putih nombor kenderaan tidak pasti memandu secara melawan arus dari arah Kuala Lumpur ke arah Kuantan.
“Bertindak atas maklumat, pasukan peronda terus melakukan pemantauan dan setibanya Kilometer 211 arah ke Kuantan, peronda menemukan sebuah Mitsubishi Triton berwarna putih yang diletakkan di bahu jalan arah ke Kuala Lumpur.
“Hasil pemeriksaan mendapati tiada pemandu atau penumpang di dalam kenderaan itu manakala empat pintu dalam keadaan tertutup dan berkunci.
“Namun, pemeriksaan di bahagian belakang kenderaan itu mendapati but bahagian belakang berpenutup tetapi tidak berkunci.
“Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan itu, polis menemukan 22 plastik hitam di mengandungi 440 bungkusan plastik bertulisan ‘Chinese Pin Wei’ berisi ketulan kristal dipercayai dadah jenis syabu,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Yahaya berkata, anggaran berat keseluruhan dadah yang dirampas berjumlah 468.3 kilogram yang juga rampasan dadah terbesar di negeri ini dalam tempoh tiga tahun.
Katanya, jumlah dadah yang dirampas itu oleh dibekalkan kepada 936,600 penagih sehari berdasarkan anggaran penggunaan harian 0.5 gram setiap individu.
Katanya, Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang turut menjalankan ujian ‘swabbing’ untuk siasatan lanjut, manakala usaha mengesan pemilik kenderaan sedang giat dijalankan.
“Berdasarkan semakan, kenderaan terbabit dijual pemilik asal kepada pihak lain tapi belum menukar nama.
“Dalam kes ini, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat, saksi kejadian atau yang mempunyai rakaman kamera papan pemuka menyalurkannya di talian 09-5652222 atau menghubungi hotline Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di 012-2087222,” katanya. – Harian Metro