KLUANG: Lelaki berstatus suami orang sanggup memanjat siling dan berpanas semata-mata untuk mengelak dicekup pasukan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) kerana disyaki berkhalwat di sebuah rumah, di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam berkenaan, tindakan lelaki berusia lingkungan 30-an yang juga bapa dua anak itu bagaimanapun berjaya dihidu pihak berkuasa.
Terdahulu, penguat kuasa JAINJ yang menerima aduan awam ke rumah seorang wanita, juga berusia lingkungan 30-an, namun mereka bersama anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang terpaksa menunggu hampir 45 minit sebelum pintu kediaman dibuka.
Menurut JAINJ, pihaknya terpaksa mengetuk pintu selama hampir 45 minit, namun penghuni enggan memberi kerjasama dan sebaik pintu dibuka, seorang wanita keluar memberitahu hanya dia berseorangan di dalam rumah berkenaan.
“Pasukan penguat kuasa menggeledah semua bilik, ruang tamu, dapur dan tandas, tetapi tiada individu lain ditemui. Namun, pemeriksaan rumah terbabit tetap diteruskan dan ketika itu, wanita terbabit dilihat gelisah, seolah-olah ada sesuatu cuba disembunyikan.
“Kemudian, pasukan penguat kuasa melihat ada tangga menuju ke atas siling yang terbuka. Seorang anggota penguat kuasa memanjat siling dan melihat ada lelaki berbaju T dan berseluar hitam sedang bersembunyi di atas siling lalu memintanya segera turun,” katanya hari ini.
Hasil pemeriksaan mendapati lelaki itu mempunyai isteri dan dua anak, manakala wanita terbabit juga masih isteri orang serta memiliki tiga anak.
“Semasa tangkapan dibuat, suami dan anak-anak wanita itu tiada di rumah. Lelaki itu meletakkan motosikal di sebuah kedai makan kira-kira empat kilometer dari rumah berkenaan sebelum dijemput wanita terbabit dengan kereta untuk ke rumahnya.
“Malah, pasangan itu juga membuat perancangan rapi untuk mengelak perbuatan mereka dikesan penduduk sekitar. Pasangan ini ditahan untuk soal siasat dan akan didakwa mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997.” katanya. – Berita Harian