Mahkamah dan Jenayah

Wanita hilang selama setahun, akhirnya hanya jumpa rangka

MAKASSAR: Misteri kehilangan seorang wanita cantik selama setahun akhirnya terjawab selepas penemuan rangka miliknya.

Feni Ere, 28, ditemukan hanya tinggal rangka dengan bahagian mulut terikat di Kelurahan Battang Barat, Kecamatan Wara Barat, Kota Palopo, Sulawesi Selatan pada awal bulan lalu.

Sebelum ini, keluarganya melaporkan kehilangannya tanpa jejak pada 27 Januari 2024.

Difahamkan, wanita yang bekerja dalam bidang penjualan kereta tinggal bersendirian di Jalan Pongsimpin, Kelurahan Mungkajang, Kota Palopo manakala keluarganya berada di Kabupaten Luwu Utara.

Bapanya dikenali sebagai Parman berkata, dia sempat mencari Feni di rumahnya yang berkunci pada masa itu.

Dia memecahkan pintu dan terkejut melihat kesan darah di bilik mangsa.

“Feni sudah menjadi rangka dan dijumpai kira-kira 10 hari sebelum ulang tahun kelahirannya,” kata Parman dalam nada sedih.

Pada mulanya, pihak berkuasa sukar untuk mengenal pasti identiti pemilik rangka itu, namun ia diserahkan kepada keluarga Feni meskipun keputusan ujian DNA belum keluar kerana ciri termasuk gigi yang menyamai wanita tersebut. – Sinar Harian

Related Posts