KUALA TERENGGANU: Jumlah nilai rampasan dadah di Terengganu meningkat hampir 25 kali ganda pada tahun lalu dengan nilai sebanyak RM76.42 juta berbanding RM3.1 juta pada 2023.
Ketua Polis Datuk Mohd. Khairi Kharuddin berkata, kadar tangkapan juga meningkat daripada 10,327 orang pada 2023 kepada 11,893 orang pada tahun lepas.
Menurutnya, peningkatan tersebut hasil penubuhan pasukan petugas khas dan tindakan penguatkuasaan lebih agresif untuk membanteras aktiviti penagihan.
“Selain itu kita juga berjaya menahan seramai 56 pengedar dadah di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.
“Sebahagian besar rampasan melibatkan dadah jenis syabu dan pil yaba yang mudah diperoleh dengan harga murah,” katanya pada Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Terengganu di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Mohd. Khairi berkata, orang ramai dan pengusaha kedai pajak gadai dinasihatkan berwaspada sekiranya didatangi individu yang mencurigakan untuk menjual barangan kemas.
Beliau menambah, sebaliknya mereka harus melaporkan kepada pihak polis agar tidak terjerat membeli barangan curi.
“Polis tidak berkrompromi dan tindakan tegas akan dikenakan kepada mana-mana individu yang dikesan membeli barangan daripada sumber yang tidak pasti,” ujarnya.
Terdahulu, media melaporkan suspek kes bunuh peniaga makanan, Norshamira Zainal, 37, di Kuantan, Pahang, Khamis lalu, menggadaikan gelang emas milik mangsa di sebuah pajak gadai di Kuala Terengganu.
Pekerja sebuah kedai pajak gadai tersebut telah ditahan polis bagi membantu siasatan, Sabtu lalu. – Suara Timur