Negara

Saksi terakhir tragedi berdarah Bukit Kepong meninggal dunia


JOHOR BAHRU: Saksi terakhir tragedi berdarah Bukit Kepong, Jamilah Abu Bakar, 78, menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Taman Skudai Kanan di sini, pagi tadi.

Jamilah, yang berusia tiga tahun ketika serangan kejam Komunis terhadap Balai Polis Bukit Kepong pada 23 Februari 1950, meninggal dunia akibat sakit tua kira-kira 9.36 pagi.

Anak bongsunya, Raja Zamzura Raja Buntat, 46, berkata, ibunya hanya menunjukkan tanda-tanda kurang bermaya sejak beberapa hari lalu kerana tidak berselera makan.

“Mak memang ada kencing manis, tapi tak adalah sakit beberapa hari ini, cuma kurang makan dan minum saja.

“Nampaklah perubahan, ibu letih dan tidak bermaya malam tadi, sehinggalah meninggal dunia pagi tadi. Kami adik-beradik berada di sisinya saat ibu menghembuskan nafas terakhir,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Bukit Aliff di sini, hari ini.

Jenazah Jamilah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Aliff di sini, petang tadi, yang turut menempatkan jenazah bapanya, Konstabel Abu Bakar Daud yang meninggal dunia pada September 1979.

Abu Bakar adalah Polis Marin di Balai Polis Bukit Kepong dan antara mangsa yang parah dalam peristiwa tragis itu.

Bagaimanapun, beliau masih meneruskan perkhidmatan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum meninggal dunia.

Ditanya lanjut mengenai peristiwa Bukit Kepong, Raja Zamzura berkata, ibunya masih ingat akan kejadian serangan Komunis itu yang meragut nyawa ibu, Fatimah Yaaba dan adiknya, Hussin kerana ia berlaku di depan matanya.

“Mak memang nampak macam mana ayah, ibu dan adiknya ditembak. Mak juga terkena tembakan di tangannya.

“Mak juga nampak apabila ibu dan adiknya dibakar. Mereka meninggal dunia di tempat kejadian. Hanya abu mereka yang tinggal dan dikebumikan di Pusara Pejuang Bukit Kepong,” katanya.

Raja Zamzura berkata, setiap tahun, ibunya akan dijemput ke Bukit Kepong pada Majlis Memperingati Peristiwa Bukit Kepong.

“Mak ada simpan gambar dan selalu cerita pasal kejadian itu. Setiap tahun pun mak dijemput oleh polis untuk menghadiri majlis itu,” katanya. – Harian Metro

Related Posts