JASIN: Wanita yang rentung bersama empat anaknya dalam kebakaran di Kampung Berangan Enam, Umbai di sini, awal pagi Khamis sedang mengandung lima bulan anak ketujuh.
Ibu mangsa, Ruziha Osman, 60, dari Puchong, Selangor, berkata, dia tidak menyangka musibah itu meragut nyawa anak sulung daripada tiga beradik, Laila Fathinah Mustapa,37, bersama empat lagi cucunya berusia empat hingga 13 tahun.
Menurutnya, beberapa jam sebelum kejadian dia menghantar arwah bersama cucu-cucunya pulang ke rumah di Kampung Berangan Enam, Umbai namun arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap.
“Memang tak sangka, lagipun arwah kelihatan ceria dan bergurau dengan kami seperti biasa.
“Arwah sedang mengandung, malah sebelum ini mereka sekeluarga terlibat dalam kemalangan di Brisu Alor Gajah pada 30 Januari lalu, namun terselamat,” katanya ketika ditemui pemberita di Unit Kecemasan Hospital Jasin di sini pada Khamis.
Tambah Ruziha, arwah mempunyai enam anak namun dua daripada anaknya itu tinggal bersama dengannya ketika kejadian itu berlaku.
Sementara itu, ibu saudara kepada suami arwah yang hanya dikenali sebagai Ina berkata, rupanya ALLAH SWT mahu mengambil arwah bersama empat anaknya dengan cara lain.
Menurutnya, sedih mengenangkan nasib keluarga itu yang sebelum ini terlibat dalam kemalangan jalan raya selepas menziarahi datuk mereka yang nazak akibat sakit tua di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) beberapa minggu lalu.- Sinar Harian