KUALA LUMPUR: Seorang lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini.
Menurut sumber, ADUN berkenaan ditahan kerana disyaki meminta dan menerima suapan kira-kira RM150,000 membabitkan pengeluaran lesen cari gali di negeri itu.
“Suspek lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan kira-kira 9.30 pagi tadi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Sabah.
“Suspek yang juga merangkap pembantu Menteri dipercayai melakukan perbuatan tersebut sekitar tahun 2023 dan 2024,” katanya hari ini.
Menurutnya, suspek disyaki meminta wang rasuah berkenaan daripada seorang individu bergelar ‘Datuk’ bagi menguruskan permohonan lesen cari gali.
Sementara itu,Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009.
Menurutnya, suspek dilepaskan dengan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin selepas selesai dirakam keterangan dan suspek dijangka dituduh dalam masa terdekat.
Terdahulu media melaporkan, SPRM mengesahkan individu yang akan didakwa bersama dua ADUN Sabah berhubung skandal rasuah lesen cari gali di negeri itu, tidak dilindungi mengikut Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.
Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, berkata, Seksyen 11(1) Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 menjelaskan bahawa seseorang yang terbabit dalam kesalahan yang didedahkannya tidak layak memohon perlindungan pemberi maklumat atau ‘whistleblower. – Sinar Harian