Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
KEMAMAN – Seramai 22 peserta Projek Tanaman Jagung Manis Berkelompok, di Kampung Seberang Tayur Hilir, di sini berharap pihak berkenaan dapat mengambil tindakan segera menangkap dua ekor beruang berkeliaran di kawasan kampung mereka sejak beberapa hari lalu.
Penduduk mendakwa dua ekor beruang berkeliaran di kawasan rumah dan kebun jagung mereka itu boleh mengundang bahaya kepada mereka serta berpotensi merosakkan tanaman mereka.
Mereka mendakwa beberapa kali terserempak dengan haiwan itu merayau-rayau dalam kawasan kampung ketika dalam perjalanan ke kebun dan berulang alik menghantar anak ke sekolah.
Penduduk berharap pihak terbabit dapat bertindak segera menangkap haiwan itu bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku terutama membabitkan kanak-kanak sekolah selepas haiwan itu dilihat merayau-rayau di kawasan sekolah.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Seberang Tayur Hilir, Ab. Khalid Kamaludin berkata, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) telah datang melakukan pemantauan terhadap haiwan tersebut.

Menurutnya, penduduk diminta bersabar kerana pihak Perhilitan akan mengambil tindakan segera untuk menangkap haiwan berkenaan sekaligus menjaga keselamatan penduduk dan tanaman jagung mereka.
“Saya ingin menyarankan dan berharap supaya tindakan segera dapat diambil oleh pihak berkaitan supaya beruang itu segera ditangkap,’ katanya ketika ditemui media di Projek Tanaman Jagung Manis Berkelompok, di Kampung Seberang Tayur Hilir di sini, hari ini.
Menurutnya, penduduk bimbang beruang tersebut masuk ke dalam kawasan jagung dan memusnahkan kawasan jagung ini.
“Lebih baik kita elak daripada awal sebab jagung sekarang ni sedang mengeluarkan hasil dan merupakan sumber pendapatan utama bagi peserta kita, ujarnya
Seorang penduduk yang juga pengusaha projek tanaman jagung, Azlinawati Awang berkata, dia berharap Perhilitan dapat segera menangkap haiwan terbabit yang dilihat boleh membahayakan penduduk dan mengancam tanaman yang menjadi sumber pendapatan mereka.

“Saya mewakili pengusaha tanaman jagung takut untuk datang ke kebun pada waktu pagi dan petang bimbang masalah beruang yang berleluasa di kampung kami,” ujarnya.
Seorang lagi pengusaha tanaman itu, Sarti Mohamad berkata, mereka mengusahakan tanaman jagung seluas lebih 15 ekar itu di bawah Program Sejati Madani, Jabatan Perdana Menteri melalui Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) dengan bantuan pelbagai agensi seperti, Jabatan Pertanian, Peladang dan FAMA.
“Saya berharap pihak perhilitan dapat menangkap segera beruang yang berkeliaran di kebun jagung dan sekarang ni berada di sekitar kawasan rumah penduduk kampung. Saya berharap pihak berkenaan dapat mengambil tindakan segera,” tambahnya.
Seorang penduduk, Nurul Sakinah Amira Othman berkata, dua ekor beruang itu telah merayau-rayau mencari makanan sehingga di hadapan rumahnya dan ianya boleh membahayakan keselamatan anak-anak yang bermain di luar rumah.
“Tadi semasa suami saya baiki motosikal, dia nampak beruang lalu depan rumah saya, lalu beruang tu lari masuk ke dalam semak. Perkara ini sangat membahayakan penduduk dan anak-anak kecil yang bermain di luar rumah. Sebab saya setiap petang sentiasa beriadah di kawasan kampung dan membawa anak-anak naik basikal,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Wan Noraini Wan Hassan, 41, berkata, beruang begitu berani masuk ke Kawasan rumahnya yang berpagar dan merosakkan tanaman jagung dalam pasu dihadapan rumahnya diwaktu malam.
Beliau berharap Jabatan Perhilitan segera menangkap beruang tersebut kerana bimbang untuk keluar rumah waktu malam.
Sementara itu Pengarah Perhilitan Terengganu, Loo Kean Seong berkata, pihaknya telah mengambil maklum mengenai perkara berkenaan dan tindakan pemantauan telahpun dilakukan Perhilitan Kemaman di kawasan kampung itu.
Bulan lalu Suara Timur pernah menyiarkan kebimbangan masyarakat Felda Seberang Tayor di sini dengan kehadiran beruang berhampiran kediaman mereka. – Suara Timur