KUALA NERUS: Kerajaan menerusi Kementerian Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) menyalurkan peruntukan RM287.8 juta di dalam Rolling Plan Kelima (RP5) Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) bagi pelaksanaan pelbagai projek berkaitan air di Terengganu pada tahun ini.
Ketua Setiausahanya, Datuk Mad Zaidi Mohd. Karli berkata, peruntukan tersebut meliputi 27 projek yang dilaksanakan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Bekalan Air (JBA) dan Jabatan Perkhidmatan Pembentungan (JPP).
Katanya, daripada keseluruhan projek tersebut, sebanyak projek berkaitan sumber air, tebatan banjir dan hakisan pantai yang bernilai RM279.2 juta, tiga projek bekalan air (RM2.6 juta) dan dua projek berkaitan pembetungan (RM6 juta).
“Nilai keseluruhan projek itu berdasarkan rekod sistem MyProjek sehingga 19 Mei 2025,” katanya melawat projek pengawalan hakisan pantai di sini, hari ini.
Selain itu, Mad Zaidi berkata, projek pembinaan ‘beach nourishment’ sepanjang dua kilometer (km) dan pembinaan 16 pemecah ombak bagi memulihara semula kawasan pantai yang terjejas akibat hakisan dari Pantai Mengabang Telipot hingga ke Pantai Batu Rakit di sini telah siap sebanyak 24.5 peratus.
Katanya, pelaksanaan projek itu dijangka dapat mengekalkan garisan pantai, menghalang berlakunya banjir pantai dan seterusnya mengelak daripada berlakunya kemusnahan harta benda dan infrastruktur bagi menggalakkan pertumbuhan ekonomi setempat.
“Kedua-dua projek itu yang bernilai RM90 juta dijangka siap pada Januari 2027. Dari segi status, saya difahamkan ada pemecah ombak yang berjaya disiapkan hingga 92 peratus tetapi ada juga yang masih lagi di peringkat pelaksanaan sebanyak 10 peratus, 20 peratus.
“Alhamdullilah, saya diberi jaminan oleh kontraktor bahawa beliau akan cuba menyiapkan sebaik mungkin beberapa pemecah ombak, kalau boleh sebelum musim tengkujuh pada tahun ini bagi beberapa komponen,” katanya. – Utusan