Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
KEMAMAN: Gelombang solidariti terhadap Allahyarham Zara Qairina Mahathir diteruskan oleh badan bukan kerajaan (NGO) di seluruh negara bagi menegakkan keadilan terhadap mangsa buli.
Pengerusi Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (PEKIDA) Daerah Kemaman, Hazuki Abbas berkata, PEKIDA Kemaman juga tidak ketinggalan akan mengadakan Perhimpunan Aman Justice For Zara Kemaman Bersolidariti di Paya Langsir Bandar Baru Kijal, jam 8.30 malam, pada Jumaat ini.
“Pada awal perbincangan hanya 14 NGO yang tampil memberi sokongan tetapi hari ini kami telah mendapat sokongan dan kerjasama 28 buah pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” katanya ketika ditemui Suara Timur di sini hari ini.

Perhimpunan itu bermula jam 8.30 malam dan diikuti dengan demostrasi printing tote bag justice for zara by mavros.
Beliau memberitahu, pendakwah bebas, Ustaz Ahmad Amirul Ameenuddin A. Razak akan memimpin bacaan Surah Yasin, bacaan doa selamat, bacaan Qunut Nazilah dan tazkirah.
Katanya, beberapa acara lain turut diadakan pada himpunan tersebut seperti ucapan daripada wakil NGO dan deklamasi puisi.
Menurut Hazuki, seramai 2,000 peserta dijangka hadir bagi menyatakan solidariti buat Allahyarham Zara Qairina Mahathir, 13, yang disahkan meninggal dunia sebulan lalu berdasarkan maklum balas dari rakan rakan NGO didalam dan luar Terengganu.
“Orang ramai daripada pelbagai lapisan usia dan kaum dijemput tampil bergabung dalam satu himpunan solidariti bagi menuntut keadilan untuk Allahyarham Zara Qairina,” ujarnya.
Menurutnya, suara masyarakat amat penting bagi membendung gejala buli sekali gus memastikan pihak berwajib mengambil tindakan tegas agar insiden seumpama itu tidak terus berulang.
Allahyarham Zara Qairina, 13, pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan di Papar, Sabah, dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga dan ditemui tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama pada jam 4 pagi, 16 Julai lalu.
Mangsa disahkan meninggal dunia keesokannya selepas menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu. – Suara Timur