Negeri

Sampah! oh sampah! mentaliti rakyat perlu berubah

Oleh MOHD LAZIM  ENDUT

MARANG: Apabila bercakap mengenai sampah, kita masih lagi agak jauh ketinggalan berbanding dengan negara-negara maju  lain.

Kalau dibandingkan dengan negara jiran paling hampir, iaitu Singapura pun kita sudah kelihatan terbelakang dari aspek pengurusan dan juga kesedaran rakyat mengenai sampah.

Selain peraturan, hukuman dan denda, sikap serta disiplin masyarakat kita mengenai sampah juga masih dianggap sebagai terkebelakang.

Masih ramai masyarakat kita tidak mempedulikan sampah! Ramai yang memejamkan mata apabila melihat atau terpijak sampah bertaburan di tempat tidak sepatutnya.

Malah, apa yang dikesalkan masih ramai yang bersikap sambil lewa terhadap sampah  dengan bertindak membuang sisa-sisa buangan bertaburan walaupun terdapat tong-tong sampah disediakan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Disebabkan sikap mengambil mudah inilah menyebabkan kenapa lokasi tumpuan ramai termasuk  taman rekreasi serta kawasan pelancongan di Terengganu sentiasa dicemari sampah.

Sikap buruk seperti ini yang dianggap sebagai mentaliti  kelas kedua boleh disaksikan selepas berakhirnya sesuatu program diadakan.

Ia termasuklah program secara terbuka atau tertutup sama ada pasar malam, aktiviti perhimpunan ataupun acara sukan yang berlangsung di stadium.

Sebelum ini, heboh orang ramai bercakap mengenai program himpunan RX-Z yang berlangsung di Litar Permotoran Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Nerus.

Program dihadiri lebih 40,0000 peminat motosikal dari seluruh negara. itu sedikit  ‘terkehel’ apabila terdapat banyak longgokan sampah yang ditinggalkan sebaik program berakhir.

Program berkenaan dianggap terbesar dan berjaya dalam sejarah aktiviti permotoran di Terengganu, namun ia dicacatkan dengan beberapa insiden diluar jangkaan yang tidak seharusnya berlaku termasuk longgokan sampah!.

Ketika itu, isu lambakan sampah ditinggalkan pengunjung menjadi perbualan hangat dan perdebatan dalam kalangan netizen Facebook (FB) ,di negeri ini.

Mereka yang kecewa dengan sikap sesetengah pengunjung bertindak mengecam perbuatan pengunjung terbabit kerana gagal menjaga kebersihan kawasan sekitar.

Selain itu, ada pihak yang marah-marah apabila terdapat lambakan sampah bertaburan di sana sini di dalam stadium selepas berakhirnya perlawanan bola sepak diadakan.

Begitu juga dengan lokasi tumpuan awam seperti pantai peranginan dan pusat-pusat rekreasi tumpuan ramai yang menjadi ‘mangsa’ pembuangan sampah oleh golongan bersikap ‘lepas tangan.

Ini menyebabkan ada netizen mendakwa, tindakan membuang sampah di merata tempat sedangkan tong sampah disediakan  dianggap sebagai mentaliti  kelas kedua.

Mereka menyifatkan perbuatan tersebut secara tidak langsung boleh mencerminkan tahap kesedaran masyarakat di negeri ini terhadap kebersihan alam sekitar yang masih rendah  dan belum ‘merdeka’.

Ini kerana, mereka  sentiasa mengharapkan pekerja pembersihan mengutip sampah dan sisa makanan serta minuman yang   tinggalkan bertaburan tanpa membuangnya ke dalam tong-tong sampah disediakan.

Sebagai warga  bertanggungjawab, perbuatan seperti ini seharusnya dielakkan dan mereka sewajarnya untuk sama-sama membantu kerajaan dalam menjaga kebersihan.

Ia perlu kerana Terengganu yang menekankan industri pelancongan memerlukan kerjasama rakyat bagi tujuan tersebut.

Justeru, bagi mamastikan masalah lambakan sampah ini tidak berulang pihak pengurusan acara atau penganjur mestilah mencari satu pendekatan lebih tegas dalam setiap penganjuran  diadakan.

Kita tidak mahu hanya disebabkan sampah, imej negeri ini turut terjejas. – Suara Timur

Related Posts