Negeri

Pesta hiburan di bulan Ramadan di Terengganu

KUALA TERENGGANU:  Memalukan apabila
program Program Pelita Raya Terengganu 2025 di Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak, Kuala Nerus dekat sini dari 13 hingga 16 Mac lalu diisi dengan acara hiburan yang melalaikan sehingga mencemari kemuliaan bulan Ramadan.

Pada majlis penutup program itu yang dirasmikan oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar  dimeriahkan dengan persembahan nyanyian dan tarian.

Pada waktu itu, beberapa masjid dan surau di kampung berhampiran tapak program itu masih mengadakan solat sunat Tarawih dan tadarus al-Quran.

Sebagai sebuah negeri yang diterajui oleh Pas, isu tersebut tidak sepatutnya berlaku kerana kerajaan Terengganu dipercayai mempunyai garisan panduan yang ketat dalam penganjuran program terutamanya dalam soal menjaga kesucian Islam.

Bagaimanapun pengunjung terkejut apabila tedapat beberapa gerai yang diwakili pejabat-pejabat daerah dan anak syarikat kerajaan negeri bebas mengadakan acara berbentuk hiburan walaupun pada bulan Ramadan.

Dalam pada itu, tidak dinafikan terdapat  acara-acara keagamaan yang diselitkan dalam program tersebut.

Persembahan hiburan ini sekiranya diadakan negeri yang diperintah parti DAP mungkin tidak mengejutkan.

Tetapi apabila berlaku di Terengganu, banyak pihak mula mempertikaikan slogan membangun bersama Islam yang dibawa oleh kerajaan negeri itu selama ini.

Pada masa sama, kebanyakan penyokong taksub Pas didapati mengambil pendekatan tutup mulut dengan bisu seribu bahasa berhubung isu tersebut, tetapi pasti akan riuh satu Malaysia sekiranya kejadian itu berlaku di negeri diperintah Kerajaan Perpaduan.

Bagi menenangkan keadaan tersebut, Exco  Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi tampil mengeluarkan kenyataan bagi meringankan tugas lantikan politik menjawab isu yang memalukan itu.

Menurut Muhammad Khalil, beliau mengambil maklum mengenai teguran rakyat terhadap acara hiburan yang dikatakan agak berlebihan pada Ramadan kali ini.

Karanya, penganjuran Pelita Raya bertujuan untuk memeriahkan suasana Ramadan dan mengangkat budaya warisan Melayu Islam Malaysia namun pihaknya peka ada aduan berkaitan persembahan yang dikatakan kurang sesuai dengan sensitiviti bulan yang mulia ini.

“Saya mengucapkan terima kasih atas teguran dan pandangan yang diberikan oleh rakyat Terengganu berkaitan program Pelita Raya dan Pesta Moreh di negeri ini.

“Kami amat menghargai setiap maklum balas yang diberikan demi memastikan keharmonian serta keberkatan bulan Ramadan dan agenda Indahnya Hidup Bersyariah terus terpelihara.

“Kami mengambil serius perkara ini dan akan memperhalusinya agar sebarang pengisian serta perjalanan acara selari dengan nilai-nilai Islam serta budaya masyarakat,” katanya. – Suara Timur

Related Posts