KUALA TERENGGANU: Pemergian serentak 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang maut dalam kemalangan tragis di Perak bukan hanya ditangisi keluarga dan rakan terdekat, namun seluruh rakyat Malaysia turut berduka.
Sepanjang perjalanan dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh, Perak ke Masjid Hadhari, Jertih, orang ramai tanpa mengira umur menunggu di tepi jalan bagi memberi penghormatan terakhir dan lambaian kepada mangsa.
Malah, ada yang bertongkat tetap setia menunggu menanti ketibaan jenazah di kawasan mereka, selain mereka yang berada di tepi jalan pada awal pagi dan hujan.
Itu dikongsikan Pengerusi Pertubuhan Amal Komuniti Besut, Mohd Azizul Azli Mohd Sani sepanjang rombongan konvoi 13 jenazah penuntut UPSI ke kampung halaman mereka.
Mohd Azizul Azli berkata, rombongan 13 van jenazah bergerak dari HRPB, Ipoh, Perak jam 8.50 pagi dan tiba di pekarangan masjid jam 3 pagi.
Katanya, selain orang ramai, pelbagai pihak seperti Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), penunda kenderaan dan sebagainya berada dalam keadaan siap sedia untuk membantu sekiranya ada kehadiran gajah dan kerosakan kenderaan.
“Memang sebak sebab sepanjang perjalanan orang tunggu untuk beri penghormatan kepada semua jenazah walaupun sudah lewat.
“Kami (Pertubuhan Awal Komuniti) adalah badan bukan kerajaan (NGO) yang mempunyai rakan strategik seluruh seluruh negara dan ini kali pertama kami membawa jenazah yang ramai ke satu lokasi serentak.
“Perasaan itu memang lain dan meruntun jiwa apatah lagi kesemua mangsa diibaratkan sebagai adik-adik kerana kami di sini berpegang kepada tiga asas iaitu setiap jenazah yang dibawa dianggap ayah (lelaki), wanita (ibu) dan golongan muda (adik).
“Malah, saya secara peribadi terkesan dan sebak kerana pemergian mereka bukan hanya ditangisi sepanjang jalan namun diiringi doa yang tidak putus-putus,” katanya ketika dihubungi di sini.
Mohd Azizul Azli berkata, dia bersyukur kerana segala urusan mereka dalam membawa pulang jenazah ke Besut berjalan dengan lancar.
“Alhamdulillah, sepanjang perjalanan dipermudahkan dan terima kasih kepada pengguna jalan raya yang turut memberi laluan kepada konvoi kami.
“Walaupun kami ada menyediakan van jenazah tambahan sebagai persediaan jika berlaku kerosakan tetapi semuanya berjalan lancar dan memang Allah SWT permudahkan urusan kami membawa anak-anak syurga ini,” katanya. – Harian Metro